Karier tergadai angkara kekasih

BUKAN mudah untuk seseorang selebriti menapak dalam industri hiburan lebih-lebih lagi ramai pesaing yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Mengukuhkan nama adalah sesuatu yang sukar, namun karier seseorang artis boleh menjunam begitu sahaja hanya disebabkan isu remeh termasuk melibatkan percintaan.

Bukan hanyut dalam asmara tetapi isu lampau pasangan seseorang artis juga boleh menjadi punca utama mereka dikecam dan hilang peminat.

Hari ini, Daebak menyenaraikan lima bintang Korea Selatan yang kariernya terjejas disebabkan buah hati mereka.

Jang Shin-young

AWAL tahun ini, suami kepada pelakon Jang Shin-young iaitu Kang Kyung-joon disaman kerana mempunyai hubungan luar nikah dengan wanita lain yang sudah berkahwin.

Kyung-joon kemudian mengaku di mahkamah bahawa dia telah berzina.

Di sebalik penghinaan awam, Shin-young tidak akan berpisah dengan suaminya demi menjaga kebajikan anak-anak.

Meskipun peminat menyokong keputusan aktres berusia 40 tahun itu, ada yang percaya hubungan sulit suaminya akan memberi kesan sepanjang hayatnya misalnya menyukarkan dia untuk berlakon.

Hyuna

PADA bulan Julai lalu, sebuah laporan eksklusif Korea mengumumkan bahawa penyanyi Hyuna dan bekas ahli Highlight iaitu Yong Jun-hyung menetapkan tarikh perkahwinan mereka pada 11 Oktober.

Disebabkan itu, pemilik nama lengkap Kim Hyun-ah dikecam atas kerana Jun-hyung terlibat dalam skandal ‘Burning Sun’ yang terkenal.

Pengumuman perkahwinan terbabit memberi impak kepada Hyuna dan juga karier nyanyiannya.

Tidak lama selepas pengumuman perkahwinan, jelajah dunianya ke Amerika Utara dibatalkan tanpa sebab yang kukuh.

Peminat K-Pop 100 peratus percaya bahawa penjelajahan dibatalkan disebabkan penjualan tiket rendah kerana kontroversi perkahwinannya.

Lee Seung-gi

PELAKON Lee Seung-gi berkongsi khabar gembira bahawa dia akan berkahwin dengan teman wanitanya, Lee Da-in yang juga merupakan aktres pada Februari tahun lalu.

Disebabkan latar belakang keluarga Da-in, rata-rata peminat tidak bersetuju dengan perkahwinan mereka.

Peminat sanggup menghantar kenderaan protes di tempat tinggal pelakon drama Mouse itu untuk meyakinkan keputusannya.

Bagaimanapun, Seung-gi tetap meneruskan perkahwinan tersebut sehingga dianggap menamatkan zaman kegemilangannya sebagai pelakon terkenal.

Selepas menimang cahaya mata pada Februari tahun ini, karier lelaki berusia 37 tahun itu kembali mendapat tempat di hati peminat.

Hani

PADA Mei 2024, penyanyi Hani mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pakar psikiatrinya, Yang Jae-woong pada September ini.

Sewaktu mengumumkan tarikh perkahwinan, pesakit Jae-woong yang didakwa diabai sehingga meninggal dunia pada hari sama.

Pada hari pengebumian pesakit itu, Jae-woong dikecam kerana tidak menghadiri majlis bagi memberi penghormatan terakhir.

Dalam masa sama, ahli kumpulan EXID itu tidak dapat mengelak daripada terkena tempias tindakan tunangnya.

Disebabkan kontroversi terbabit, Hani menarik diri daripada sebuah drama yang pernah dilakonkannya.

Lyn

PADA April 2014, penyanyi ini mengumumkan bakal berkahwin dengan kawan baiknya, Lee Soo yang dikenali 20 tahun lalu.

Pengumuman tersebut mencetuskan rasa tidak senang peminat kerana Lee Soo pernah digantung atas dakwaan melacur pelajar sekolah menengah dalam talian semasa dalam perkhidmatan tentera pada 2009.

Meskipun mempunyai suami yang terpalit kontroversi, pemilik nama lengkap Lee Se-jin tetap meneruskan karier nyanyiannya.

Pelantun lagu My Destiny itu juga cukup lantang membela suaminya apabila khabar angin tentang masa lalu aktiviti jenayah lelaki itu tersebar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok