Kanada ‘blacklist’ Yuna kerana piza halal

PENYANYI Yuna mendedahkan namanya pernah disenarai hitam daripada masuk ke Kanada gara-gara ingin ke sebuah restoran piza.

Kongsi Yuna dalam audio siar, insiden itu berlaku ketika dia bersama beberapa orang rakan ingin menikmati piza sejurus selesai persembahan di Detroit, Amerika Syarikat (AS).

Katanya, waktu itu dia hanya mengikuti navigasi yang mengatakan restoran berkenaan menyediakan menu halal dan masih beroperasi pada pukul 1 pagi.

“Waktu itu kami sangat lapar dan cuba mencari restoran menggunakan navigasi di telefon Blackberry selepas membuat persembahan di Detroit. Ketika itu sudah lewat malam dan kami ingin makan piza. Kemudian kami dapat tahu ada sebuah kedai masih beroperasi.

Mengetahui kedai tersebut halal, kami terus memandu dan selepas beberapa jam, kami melihat ada papan tanda mengatakan, anda kini sedang meninggalkan Amerika Syarikat.

“Kemudian kami melalui satu terowong dan tiba di kawasan sempadan Kanada-AS. Memang mengejutkan dan kami cuba terangkan kepada kakitangan di situ tetapi malangnya tidak berjaya kerana tiada visa walaupun bawa pasport,” katanya.

Sambung pemilik nama lengkap Yunalis Mat Zara’ai, 38, kejadian itu telah menyebabkan namanya disenarai hitam masuk ke negara itu.

Untuk beberapa tahun saya disenarai hitam. Jadi, jika ingin membuat persembahan di Kanada, saya perlu melalui pemeriksaan yang sangat ketat (oleh imigresen).

“Malang sekali dalam kejadian itu kami tidak dapat makan piza,” jelasnya.

Difahamkan insiden tersebut berlaku ketika Yuna memulakan kerjaya muzik di AS sekitar 14 tahun lalu. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok