Kami kena waras demi anak – Yasmin Hani

Demi kebajikan anak-anak, pelakon Yasmin Hani terus menjalin hubungan baik dengan bekas suami, Sha’arin Razali walaupun kadangkala tercetus perbezaan pendapat.

Kata Yasmin atau nama lengkapnya Yasmin Hani Ismail Richardson, 45, dia dan Sha’arin menyediakan kalender bagi memudahkan jadual harian dan aktiviti sampingan dua permata hati mereka.

“Memang perit getir, gaduh, sekat-menyekat pun semua ada tetapi kita kena juga (baik) sebab anak. Mereka ada banyak aktiviti seperti tuisyen dan bola.

“Nak tak nak memang kena berkomunikasi setiap hari. Ikutkan ramai juga (mesej langsung) DM tanya macam mana saya buat (jaga anak bersama). Kalau dah tawar, letak tepi dulu.

“Sekarang ini kena ada azam iaitu utamakan anak. Lagipun kami ada satu kalendar yang kongsi semua jadual kami, penting kena ada persefahaman walaupun bergaduh tetapi kena waras demi anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Dalam masa sama, pelakon filem Duyung itu bersyukur perceraian dengan bekas suami tidak memberi kesan buruk terhadap anak mereka hasil muafakat dalam segala segi.

“Alhamdulillah, anak-anak semua okey sebab itu kalau ada bercuti pun, kami pergi sama-sama. Kalau ada hal apa-apa pun, Sha’arin akan datang rumah tengok anak-anak.

“Malah, ibu saya pun pernah tidur rumah dia. Kami semua masih rapat, macam dulu cuma hubungan suami isteri itu dah tiada sebab kami nak buat nampak normal.

“Kami tak nak anak-anak rasa terkesan dan alhamdulillah, saya rasa kami berjaya. Kalau nak tahu, rumah kami pun dekat sebab senang untuk lancarkan urusan anak,” ujarnya.

Sebelum ini, Yasmin mendirikan rumah tangga dengan Sha’arin yang juga pemain dram Blackrose pada 2015 namun berpisah selepas 10 tahun berkahwin.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua putera iaitu Noah Ismail Wong, 10 dan Eissa Elzander Wong, 7. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok