‘Kalau buat silap, saya lebih takut Allah berbanding netizen’

PERJALANAN yang indah dan tak terungkap oleh kata-kata. Begitulah luahan perasaan Elfira Loy kala dilayangkan pertanyaan tentang momen menunaikan ibadah haji baru-baru ini.

Menyifatkan pengalaman tersebut sebagai satu perjalanan luar biasa, wanita genit berusia 30 tahun itu terbuka berkongsi momen tidak ternilai itu kepada orang ramai.

Baginya, rezeki terpilih ke Tanah Suci tidak dianggap sekadar menunaikan rukun Islam kelima, bahkan satu bentuk tanggungjawab, ‘undangan’ Allah SWT untuk berkongsi perjalanan haji kepada umum.

“Kalau nak cakap pengalaman ke Tanah Suci, saya sudah beberapa kali ke sana untuk menunaikan umrah.

“Cuma untuk ibadah haji, memang sangat berbeza. Sehingga kini saya tak tahu nak luahkan rasa itu tetapi perjalanan haji itu seperti diri ‘dijaga’,” katanya kepada HibGlam.

Kata Elfira, ibadah yang dilakukan bukan semata-mata untuk diri sendiri sebaliknya sebuah tanggungjawab iaitu untuk berkongsi rasa bersama umat Islam lain.

“Saya selalu fikir bahawa perjalanan saya menunaikan haji bukan untuk saya seorang tetapi untuk sesama umat Islam.

“Mungkin sebab itu saya dijemput Allah ke sana untuk berkongsi pengalaman dan rasa kepada semua orang,” tutur pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu.

Apabila bergelar seorang hajah pada usia muda, pastinya perhatian yang lebih akan diberikan kepadanya.

Setiap gerak-geri dan perkara dilakukan pasti mudah untuk menjadi pertikaian, terutama jika tidak mengikut syariah Islam dan ‘kehendak’ ramai.

Baginya, aspek tersebut tidak lagi menjadi kerisauan memandangkan setiap hal yang dilakukan adalah untuk diri sendiri tanpa memerlukan ‘restu’ daripada netizen.

SEKIAN lama meninggalkan dunia lakonan, Elfira mengaku bukan memilih tawaran sebaliknya hanya mahu fokus terhadap keluarga dan anak-anak yang masih kecil.

“Sekarang saya berada dalam fasa lakukan sesuatu perkara bukan untuk sesiapa dan tidak kisah lagi dengan apa yang orang nak cakap.

“Setiap langkah yang saya lakukan selepas ini adalah tanggungjawab sendiri.

“Paling penting ialah apa saya nak jawab dengan Allah kelak berbanding risau apa nak balas apa kepada netizen apabila melakukan kesalahan,” ujarnya yang kini lebih kerap berkongsi perihal agama dalam media sosial.

Baginya, segelintir netizen akan terus menjatuhkan ‘hukuman’ sendiri terhadap seseorang tanpa belas kasihan namun Tuhan pula sebaliknya. Pintu taubat sentiasa terbuka.

“Bukan tak kisah dengan netizen tetapi mereka jenis akan sentiasa menghakimi tetapi kalau kesalahan dengan Allah, saya sentiasa ada peluang dan ruang untuk memohon ampun dan bertaubat.

“Namun, tak semua netizen miliki hati negatif, mungkin kehadiran mereka juga sebagai peringatan untuk saya agar mengelak melakukan sebarang perkara tidak sepatutnya,” jelasnya.

Lakonan

Menutup ceritanya sebagai seorang hajah, Elfira tidak terlepas daripada ditanya mengenai dunia lakonan yang sekian lama ditinggalkan.

Bukan tiada sekelumit rasa rindu, Elfira sebaliknya menegaskan keluarga adalah prioritinya ketika ini berbanding kerjaya sebagai seorang pelakon.

“Saya tak pernah memilih pun tetapi kini lebih selesa beri fokus kepada keluarga dahulu.

“Bukan tak rindu berlakon, rindu tetapi ada perkara lain yang menjadi keutamaan saya ketika ini.

“Ditambah pula saya menjaga sendiri anak-anak dan kalau hendak ke mana-mana acara, pasti akan dilakukan sewaktu mereka ke sekolah sahaja,” katanya lagi.

Sekiranya masih diberikan peluang untuk terus berkarya sebagai anak seni, Elfira mengharapkan diberi watak yang tidak melanggar batas sepatutnya.

“Cuma kalau diberikan tawaran satu hari nanti, saya akan memilih watak yang tak melampaui batas. Watak atau naskhah yang tak meletakkan imej dan agama saya dalam situasi berisiko.

“Kalau watak remaja sekolah, saya okey sahaja pada usia sekarang cuma risau anak saya pula terkejut,” selorohnya.

Akuinya terdapat pihak produksi yang ‘berat hati’ untuk menawarkannya watak sampingan memandangkan sebelum ini kerap menjadi tunjang utama untuk sesebuah naskhah.

ELFIRA menyifatkan perjalanan hajinya adalah jemputan Tuhan yang keindahan rukun Islam yang kelima itu dapat dikongsikan kepada umum. – Instagram Elfira Loy/NURUL NAJWA HASRAN (Praktikal)

“Kadang-kadang orang takut nak panggil saya berlakon sebab selama saya menjadi pelakon ialah sentiasa pegang watak utama.

“Jadi orang risau nak ambil saya pegang watak lain. Sebenarnya saya lagi terbuka dan mengalu-alukan sebarang tawaran untuk watak pembantu atau cameo sekali pun.

“Sekurang-kurangnya terubatlah rindu sedikit tetapi waktu bekerja tidak terlalu lama,” jelasnya yang berasakan naskhah bergenre cinta tidak lagi sesuai dengan imejnya.

Penjagaan diri

Ditemui pada majlis pelantikan sebagai duta jenama kecantikan popular Indonesia iaitu Wardah baru-baru ini, Elfira mengakui sanggup berhabis ribuan ringgit membeli produk penjagaan wajah untuk mendapatkan kulit wajah yang sihat.

Dia bagaimanapun menegaskan bukan seorang yang cerewet, sebaliknya terbuka mencuba pelbagai produk bagi memastikan keberkesanan bahan digunakan.

“Saya seorang yang suka macam-macam produk, terutama bab penjagaan wajah tetapi bila dapat lamaran Wardah memang tak fikir panjang.

“Saya okey untuk berhabis ribuan ringgit demi mencuba banyak produk.

“Tak semestinya produk yang mahal itu bagus, ada juga jenama dengan harga mampu milik boleh beri kesan yang bagus,” katanya yang turut mengakui tidak suka minum air putih untuk kesihatan kulit dan tubuh.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok