‘Kalau betul nak buat, saya mahu bedah hidung’

WAKTU bergulir pantas. Selepas dipilih sebagai naib juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015) sehingga ke hari ini, rupa-rupanya sudah lapan tahun figura bernama Syamel itu bergelar penyanyi.

Tamatnya AF2015, Syamel juga boleh dikatakan antara bintang yang berjaya menjarakkan dirinya daripada jenama AF lain berkat semaian bakat nyanyian tersendiri.

Sepanjang tempoh hampir sedekad dalam industri seni air, pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly itu meraih banyak kejayaan dengan variasi julangan anugerah, baik menerusi nyanyian mahupun komposisi muziknya sendiri.

Transisi berlaku bukan sahaja tertumpu pada karier malah dapat dilihat pada perubahan fizikal. Usaha keras lelaki berusia 31 tahun selayaknya dipuji. Dia sentiasa mempunyai inisiatif untuk tampil dengan versi terbaik.

Jika sebelum ini sering didepani kecaman ‘body shaming’ dek bertubuh gempal, kini lain pula cerita yang perlu dihadam Syamel.

SUKA mengenakan mekap dan berdandan rapi ketika menjayakan persembahan, Syamel mengakui mungkin itu antara punca wajahnya kelihatan berbeza sehingga dituduh mengubah ciptaan Tuhan.

Wajah asli

Meskipun khalayak maklum pelantun lagu Kau Pun Sama itu sudah cukup berdisiplin menjaga pemakanan dan bersenam demi mendapatkan tubuh ideal, perubahan ketara bentuk wajahnya tetap mencetuskan skeptikal bahawa semua itu ‘buatan’ doktor.

Ada juga yang berpendapat, rahang tajam dan hidung yang kini sedikit mancung mustahil untuk diperolehi hanya dengan bersenam.

Tampil menepis segala dakwaan, penyanyi kelahiran Kuala Lumpur itu bertegas, setakat ini dia belum lagi melakukan sebarang pembedahan kosmetik.

“Banyak juga yang kata saya buat muka sebab mereka nampak penampilan berbeza.

“Tetapi buat masa ini, saya memang tak buat apa-apa pembedahan kosmetik. Ini adalah wajah asli saya dan tidak ada ‘plastik’ pun. Jadi, tak ada apalah yang nak saya sorokkan.

“Kalau betul saya nak buat, benda pertama yang pernah saya fikir nak bedah adalah hidung.

“Tapi macam saya cakap, perkara ini memang tidak benar dan rasanya orang yang turun banyak berat badan pasti tahu mengapa aset yang sebelum ini ‘tiada’ boleh timbul semula,” katanya kepada HibGlam.

 

PUTERI kesayangan, Khawla Soleha mendapat perhatian ramai, Syamel terbuka sekiranya anak perempuannya itu mahu mengikut jejak langkah dia dan isteri untuk terjun ke dalam dunia seni suatu hari nanti.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu bagaiamanapun tidak menafikan kebarangkalian dilihat berbeza disebabkan mekap ketika persembahan.

“Saya memang ada mekap sedikit apabila mahu membuat persembahan di atas pentas. Satu lagi kemestian adalah mendandan rambut.

“Mungkin disebabkan mekap juga orang nampak wajah saya lain padahal hakikatnya sama sahaja.

“Tapi realitinya, di luar pentas saya biasa sahaja, sama seperti orang lain. Kalau ada yang bertuah mungkin dapat lihat wajah asal saya tanpa mekap,” tuturnya berjenaka.

Enggan berlama-lama dalam topik perubahan wajah, penulis sempat bertanya suami kepada penyanyi Ernie Zakri itu mengenai populariti diraih anaknya iaitu Nur Khawla Soleha yang sepertinya bakal mewarisi bakat seni mereka.

Anak ikut jejak

Tiada masalah, Syamel tidak keberatan andai puteri sulungnya itu mahu menyertai industri hiburan malah mendedah Khawla juga telah dilamar beberapa jenama untuk tawaran kerjasama.

“Kalau itu minat dia, saya akan sokong, sebab sekarang pun dah boleh nampak dia suka nyanyi, menari dan suka apa yang kami buat.

“Kami gembira, kalau saya nak halang nanti dikatakan ‘selfish’ pula.

“Biarlah dia buat apa yang dia suka. Saya sebagai bapa akan beri sokongan sepenuhnya asalkan dia seronok.

“Sekarang pun dia juga ada kerjasama dengan beberapa kempen, jadi bagus lah untuk duit poket sekolahnya juga nanti,” ujarnya tertawa.

Ditanya, wujudkah kebimbangan andai dilabel menunggang populariti anak demi meraih keuntungan, Syamel menggelengkan kepala. Dia percaya itu semua rezeki dari Tuhan.

TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Hamba Cinta yang bersulam elemen pop jazz, itu pendekatan Syamel yang enggan ditakuk sama dan mahu meneroka lebih banyak genre muzik.

“Kami bukan paksa. Dia buat semua itu sebab memang dia suka. Khawla anak yang peramah dan kalau ada penggambaran, dia memang akan suka.

“Bab urusan duit, memang saya serahkan kepada Ernie kerana bagi saya perempuan lebih teratur menjaga kewangan anak.

“Berapa pendapatan yang Khawla dapat semestinya akan diasingkan untuk dirinya dan sedikit sebanyak memberi kemudahan juga kepada kami,” jelasnya panjang lebar.

Tukar rentak

Berkongsi perkembangan terkini, pemenang pertandingan nyanyian Duo Star itu mengakui dalam rangka promosi lagu baharu, Hamba Cinta yang menemui peminat pada Ogos lalu berjalan lancar.

Lagu berentak pop jazz tersebut dilihat berbeza daripada kebiasaan lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini.

Melihat sambutan hangat diberikan peminat sejak dilancarkan, Syamel bersyukur dan menganggap semua itu petanda dia berada di landasan betul apabila memilih konsep berbeza kali ini.

“Saya hanya mahu memberikan kelainan dan membuktikan muzik itu luas dan potensinya boleh diterokai sesiapa sahaja yang mencari kepuasan.

“Sebagai penyanyi saya mahukan kelainan dalam repertoire, terutama bila mengadakan persembahan.

“Semua pendengar mahu gembira menikmati muzik dan saya sendiri tidak mahu memberikan lagu berentak perlahan atau balada semata-mata.

“Bila bercerita mengenai muzik, kepelbagaian itu sangat penting. Muzik perlu dinikmati dengan seribu satu rasa, ” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok