KONFLIK rumah tangga pasangan sensasi Nur Fazura dan Fattah Amin terus mencetuskan perdebatan hangat warga maya dalam media sosial.
Biarpun mendapat pelbagai kritikan dan pandangan negatif netizen, masih ada warga maya memberi sokongan dan mengharapkan Fattah kekal positif serta tabah menghadapi ujian.
Malah, ada juga netizen menyalahkan Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, kerana dilihat sengaja memfailkan perceraian sehari sebelum sambutan ulang tahun kelahiran Fattah ke-34 hari ini.
“Kalau pasangan suami isteri hendak bercerai mengapa perlu kaitkan dengan curang. Mengapa perlu fail cerai sehari sebelum hari jadi, apa tiada hari lain mahkamah buka.
“Fail cerai sehari sebelum hari jadi sama ada memang marah betul atau sengaja nak sakitkan hati.
“Kalau betul Fattah curang, dari dulu lagi dia akan buat. Bukan macam ada pelakon itu, baru setahun dua kahwin sudah mengaku jumpa perempuan lain belakang isteri,” antara komen netizen.
Dalam pada itu, pelbagai dakwaan timbul sehingga ada yang mengatakan punca perceraian tersebut berlaku disebabkan hasad dengki dengan menggunakan sihir pemisah bagi menghancurkan mahligai cinta pasangan terbabit.
“Risau betul kalau ada orang hantar ilmu hitam untuk pisahkan pasangan ini.
“Perkara sama juga saya fikir sebab mereka ini pasangan contoh.
“Ada juga terfikir perkara sama. Orang dengki ini ada di mana-mana,” kata netizen.
Semalam Fazura memfailkan perceraian terhadap suaminya, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin di Mahkamah Syariah Petaling.
Kontroversi pergolakan rumah tangga pasangan itu hangat diperkatakan sejak Jun lalu apabila kedua-duanya dilihat tidak lagi memuat naik gambar bersama dalam media sosial.
Pasangan sama padan sama cantik itu mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM