Jarang berlakon, Che Ta belum sedia pencen

SEMAKIN jarang memenuhi tawaran drama, pelakon Rozita Che Wan mengakui belum sedia untuk bersara daripada arena seni biarpun kebanyakan masa kini tertumpu kepada perniagaan.

Akui Rozita atau Che Ta, 51, perkara tersebut turut disuarakan anaknya yang meminta dia bersara awal agar dapat berehat dan mempunyai banyak waktu untuk diri sendiri.

“Kurang berlakon bukan sebab saya nak berundur, cuma mungkin kebelakangan ini saya semakin sibuk mengendalikan bisnes dan menguruskan keluarga.

“Sebelum ini pun saya agak selektif pilih genre sesuatu naskhah yang menyebabkan kelibat saya boleh dikira dengan jari muncul di kaca televisyen.

“Pada masa sama, hal bersara awal pun pernah diluahkan anak saya cuma saya belum ada perancangan untuk pencen berlakon sebab ini bidang yang saya suka,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dari segi selektif bukan bermakna lebih cerewet memilih watak, sebaliknya selesa beraksi dalam naskhah ringan atau komedi.

“Berlakon umpama medan untuk saya bermain dengan karakter tetapi saya suka kisah komedi yang ringan serta tidak perlu bermain emosi. Dah tak boleh dah, nanti cepat mati.

“Saya mahu watak dan cerita yang tidak berat. Jadi sebab itu saya ambil tawaran tertentu sahaja iaitu yang kena dengan jiwa, tidak mengapalah tunggu naskhah yang sesuai.

“Ada juga produksi yang tawarkan saya berlakon untuk drama rantaian 60 episod, memang saya terpaksa tolaklah,” ujarnya.

Drama terbaru yang dibintanginya adalah Rombongan Makciks ke Dataran Merdeka yang disiarkan sempurna hari kebangsaan, baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok