SEMAKIN laris dan menjadi rebutan ramai sutradara, pelakon Arabella enggan mendabik dada, sebaliknya menyifatkan dirinya masih terlalu hijau dalam industri seni.
Memiliki pakej lengkap, bakat lakonan dan wajah kacukan Melayu-Inggeris tentu sahaja menjadi kelebihan buat pemilik nama lengkap Arabella Ellen John Robert Nelson itu.
Melihat pencapaian beberapa artis berwajah kacukan seperti Anna Jobling, Amelia Henderson dan Maya Karin, golongan ‘pan-Asian’ umpama mudah mendapat ‘akses’ sebagai bintang seni.
Arabella, 19, tidak menafikan perkara tersebut secara total namun, dia terlebih dahulu menempa kejayaan apabila dinobatkan Naib Juara Dewi Remaja 2023, baru-baru ini.
Rezeki mencurah-curah selepas pertandingan, si cantik itu terus disambar menerajui drama Dari Mata Turun Ke Hati menerusi watak Iris di sisi hero, Mierul Aiman.
Tersimbah persepsi menjadi juara bersandarkan paras rupa, Arabella bagaimanapun tidak melihat wajah kacukan sebagai tiket mudah meraih populariti.
Tegasnya, dia juga perlu melalui proses biasa seperti dihadapi artis lain dengan menghadiri banyak sesi uji bakat.
Saya tak berasakan memiliki wajah kacukan sebagai kelebihan. Bagi saya, bakat lebih penting berbanding rupa.
“Ini semua adalah proses, kalau seseorang itu bagus, maka mudahlah mendapat peluang, kadangkala bergantung rezeki juga.
“Saya juga perlu melalui sesi uji bakat untuk mendapatkan watak Iris. Walaupun ramai artis datang, namun rezeki berpihak kepada saya,” katanya kepada HibGlam.
Disoal, adakah sudah bersedia untuk mengharungi asam garam dunia seni, anak bongsu daripada tiga bersaudara itu mengangguk kepala, selain percaya perlu bersedia dari segi fizikal dan mental.
“Tipulah kalau saya kata tidak takut tetapi kegusaran itu mula berkurang kerana saya sudah mula faham dunia seni ketika menyertai pertandingan Dewi Remaja.
Cuma, saya berharap berilah saya peluang untuk membuktikan bakat. Jangan terlalu cepat menghukum hanya daripada satu episod drama.
“Setiap pelakon memerlukan proses, ada silap itu biasa dan daripada situ saya belajar memperbaiki lagi diri sendiri,” katanya.
Berkongsi mengenai drama Dari Mata Turun Ke Hati, si putih gebu itu mengakui, bukan mudah membawa watak sebagai seorang wanita separa buta, malah sanggup memotong rambutnya bagi memenuhi pembentukan karakter yang dipegang dalam drama tersebut.
Untuk projek ini, saya potong rambut saya untuk watak Iris. Saya tidak kesah untuk memotong rambut saya untuk apa-apa projek.
“Bagi saya ini adalah kerja. Saya juga dah lama tak potong rambut pendek, kali terakhir sewaktu saya kecil,” katanya menutup bicara. -HIBGLAM