Jadi duyung, Anna Jobling tunjuk skil atlet renang

BAKAL menggalas watak duyung dalam sekuel Duyung: Legenda Aurora, pelakon Anna Jobling mengakui teruja untuk beraksi dalam filem arahan Datuk Prof Ts. Dr A. Razak Mohaideen itu.

Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 24, juga tidak sabar menunjukkan kemahiran selaku atlet mewakili Selangor dalam sukan renang suatu ketika dahulu.

“Saya memang suka duyung, dulu masa kecil saya pernah berangan nak jadi duyung. Akhirnya impian saya tercapai.

Lagipun dapat juga saya gunakan kemahiran berenang dalam filem itu. Saya tak pasti kalau ada yang tahu atau tidak tetapi saya pernah menjadi wakil Selangor bagi sukan renang.

“Jadi, tiada masalah untuk saya berenang atau menyelam dalam filem itu nanti,” katanya kepada HibGlam semasa sidang akhbar Duyung: Legenda Aurora di Wetland Studios Putrajaya, semalam.

Bintang drama Melur Untuk Firdaus itu bagaimanapun mengakui berasa gementar apatah lagi bergandingan dengan aktres terkenal, Maya Karin sebagai anak.

Saya memang sangat gementar nak bawa watak duyung, apatah lagi filem ini merupakan sekuel naskhah pertama yang semua orang tengok.

“Saya pula bawa watak anak kepada Maya Karin, memang tanggungjawab sangat besar,” ujarnya.

Ditanya mengenai soal pemakaian, Anna meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak produksi dan akan berbincang sekiranya tidak selesa.

Risau ke tak? Saya rasa produksi tahu mereka nak buat apa. Saya rasa, mereka pun tidak mahu orang kecam cerita ini, tak fasal-fasal kena kritik sebab pakaian saya.

“Jadi, saya percayakan mereka. Kalau rasa tak selesa, saya akan beritahu kepada produksi tetapi kita pun dah buat ukuran semua, alhamdulillah.

Ikutkan saya pakai macam ini (longgar) pun orang akan kritik tetapi nak buat macam mana,” jelasnya.

Selain Anna dan Maya, Duyung: Legenda Aurora turut dibintangi Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil, Aidilia Hilda dan A. Shukoor Mohaideen.

Duyung: Legenda Aurora akan memulakan penggambaran pada 13 September hingga 13 Oktober ini di sekitar Pulau Langkawi, Pulau Payar, Lembah Klang dan Putrajaya.

Filem itu dijangka menemui penonton pada suku tahun ketiga 2025. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok