Perceraian dengan pengarah sensasi Syamsul Yusof telah membuka peluang baharu buat Ira Kazar apabila dia ditawarkan untuk menjadi penyanyi.
Kata Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, bakal mengeluarkan lagu baharu selain menerima tawaran untuk mengulas produk.
“Buat masa ini saya ada juga terima tawaran kerja sikit-sikit. Tawaran berlakon itu tiada, tetapi menyanyi itu ada dapat tawaran.
“Tawaran yang diterima kebanyakan untuk membuat ulasan produk. Insya-Allah kalau ada rezeki saya akan keluarkan single nanti,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat di sini hari ini.
Mengakui berada dalam keadaan baik setelah bergelar solo, anak kepada aktor Kazar Saisi itu turut berterima kepada kepada khalayak yang memuji penampilanya dilihat semakin cantik.
“Alhamdulillah, semuanya okey saja. Betulkah saya makin cantik? Saya tiada komen mengenai itu.”
“Cuma, terima kasih atas komen tersebut. Alhamdulillah,” katanya.
Terdahulu, Ira hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi prosiding tuntutan kos kehadiran daripada bekas suaminya, Syamsul Yusof.
Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul terhadap Ira ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Syamsul dan Ira kemudiannya disahkan bercerai oleh mahkamah pada hari yang sama.
Menurut peguam syarie yang mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais, Ira melanggar taklik sebanyak lima kali sejak 14 Ogos lalu.
Terdahulu Syamsul mengejutkan orang ramai apabila membuat keputusan memfailkan perceraian terhadap Ira di mahkamah sama pada 16 Ogos lalu atas sebab tiada persefahaman.
Untuk rekod, Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand. – HIBGLAM