Insiden gaduh, Hafiz Suip jalani bon berkelakuan baik

Susulan insiden pergaduhan di sebuah jalan raya pada 30 Ogos lalu, penyanyi Hafiz Suip harus menjalani bon berkelakuan baik.

Mahkamah Majistret Kuching memerintahkan perkara tersebut Khamis lalu terhadap Hafiz atau nama lengkapnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 34, bersama dua lagi individu yang terlibat dalam kejadian terbabit.

Ketiga-tiga mereka perlu menjalani bon berkelakuan baik selama enam bulan dengan jaminan sebanyak RM500.

Perintah berkenaan dikeluarkan bagi mengelakkan semua individu terbabit daripada mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.

Bulan lalu, tular video pelantun lagu Bahagiamu Deritaku itu menumbuk seorang lelaki di Jalan Padungan, Kuching, Sarawak.

Kejadian berpunca daripada salah faham apabila lelaki itu membunyikan hon selepas Hafiz memberi isyarat memasuki jalan berkenaan.

Individu itu turut menghimpit dan memandu sehingga menghampiri kenderaan yang dipandu Hafiz sebelum berhenti di jalan berkenaan dan berlaku pertengkaran.

Perkara tersebut dikongsikan dalam Facebook oleh seorang rakan kepada Hafiz yang dikenali sebagai Uthman Daud memaklumkan kedua-dua pihak sudah berdamai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok