SEDAR dengan kewujudan pelbagai pemikiran berbeza dalam agama mutakhir ini, pelakon dan penyanyi Alif Satar menyeru umat Islam sentiasa berpegang teguh dengan ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW agar diri tidak terpesong.
Menurut Alif atau nama penuhnya Muhammad Alif Mohd Satar, 34, pemikiran umat Islam tidak akan tergelincir apatah lagi terjebak dengan ajaran sesat sekiranya menjadikan dua perkara tersebut sebagai pegangan hidup.
Ikut ajaran al-Quran, sunah Nabi Muhammad SAW, pasti tidak akan sesat.
“Saya pun berpegang teguh dengan semua itu dan menyelami. Saya juga dalam proses menjadi individu lebih baik, belajar.
Ya memang ada pelbagai pendapat tetapi masih tetap perlu kekal dengan dua perkara itu, tak akan hilang sampai bila-bila,” katanya kepada HibGlam selepas malam gala filem Reeza GTR baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia mengakui umat Islam hari ini berdepan dengan cabaran apabila wujud pelbagai pendapat berbeza tentang agama.
“Dunia sekarang sudah berbeza dan sangat mencabar. Ada yang berpendapat itu adalah imej Islam sendiri tetapi semuanya salah.
Perkara-perkara karut sebegitu tak boleh terutama apabila melibatkan ajaran yang salah.
“Kalau orang mengikuti ajaran dalam al-Quran serta sunah, insya-Allah dia tidak akan sesat di dunia dan akhirat,” ujarnya.
Seiring dengan perjalanannya yang banyak terlibat dengan aktiviti keagamaan, Alif mengakui pernah didekati golongan berbeza haluan terutama berkaitan agama.
“Normal didekati golongan berbeza haluan dalam agama.
Adakalanya memang ada yang sedar sesuatu perkara itu salah tetapi jika ada pemikiran ‘apa salahnya’, semua itu yang memulakan kepada syirik kecil dan sebagainya.
“Sebab itu kita perlu terus perbaiki dan tambah baik diri sendiri. Benda itu sangat penting dan sebab itu harus perlu terus belajar,” jelasnya.
Dia bagaimanapun menegaskan tidak pernah merasakan diri terlalu bagus tentang agama sebaliknya sentiasa meletakkan sasaran untuk menjadi seorang Muslim lebih baik setiap hari.
“‘Saya bukan nak cakap diri sendiri sebagai muslim yang sempurna atau ada pendidikan tinggi dalam bidang hadis tetapi kita perlu cuba ‘upgrade’ serta banyak membaca macam-macam.
“Perlu jadi orang Islam yang lebih baik. Itu menjadi sasaran nombor satu saya.
Jadi pelakon terbaik telah jatuh kepada nombor bawah. Itu juga perlu menjadi impian dan tanggungjawab semua orang,” katanya lagi.
Menerusi filem Reeza GTR, Alif digandingkan dengan Sophia Albarakbah, Nelissa Nizam dan Noki K-Clique.
Filem yang bakal ditayangkan bermula 17 Oktober depan itu merupakan kerjasama Primeworks Studio dan Grand Brilliance serta hasil arahan Dr. Ahmad Idham. -HIBGLAM