SEAKAN reda dengan ketentuan takdir, pempengaruh Alif Teega yang berdepan permohonan cerai daripada isterinya, Aisyah Hijanah memilih keikhlasan sebagai topik untuk dikongsikan dengan khalayak.
Alif atau nama sebenarnya, Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30, berkata, sebagai insan tentu sahaja semua orang ingin bahagia namun pada masa sama harus berlapang dada apabila diuji gelombang.
Kita perlu terima setiap rasa yang kita lalui dalam hidup kita. Kita tak boleh mengharapkan bahagia semata-mata.
“Kita juga tidak boleh menolak kecewa, luluh dalam hati kita. Kerana itulah fitrahnya,” katanya dalam hantaran Instagram.
“Tapi seandainya kita mengikhlaskan setiap apa yang berlaku dalam hidup kita, pasti kita akan tenang,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Menerusi hantaran lain, Alif memuat naik video melayani anak perempuan bermain layang-layang di pantai namun meletakkan kapsyen syahdu pada video berkenaan.
Katanya, ujian dilaluinya hari ini membabitkan pelbagai rangkuman perasaan tetapi pada masa sama bersyukur masih berpeluang berada di sisi anaknya.
“Yang selalu ditinggalkan, satu saat Allah uji dengan kerinduan yang berbagai-bagai.
Walau sesaat terasa rindu, namun dihukum dengan waktu yang teramat lama. Menahan sesak sepanjang waktu. Sakit, kecewa semua dicampur sekali,” ujarnya.
Terdahulu, Aisyah atau Aisyah Hijanah Azhari, 26, memfailkan tuntutan cerai itu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, Ampang, Selangor pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, pempengaruh berusia 26 tahun itu enggan berkongsi lebih lanjut mengenai punca berbuat demikian ketika hubungannya dengan suami nampak bahagia.
Pasangan itu berkahwin pada 25 November 2017 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Khadeejah Hijanah, Muhammad Hassan Syarif dan Safiyyah Hijanah.
Rumah tangga pasangan itu menjadi perhatian apabila Alif menikahi wanita dikenali sebagai Fatin Umaidah di Thailand pada 18 November tahun lalu ketika Aisyah sarat hamil. – HIBGLAM