SEMPENA meraikan sambutan Hari Malaysia, stesen televisyen TV1 membawakan telefilem bertajuk Selampai Labung yang menceritakan keunikan budaya dan adat resam masyarakat etnik Iban di Sarawak.
Selaku pengarah, Danny Alamsyah memberitahu, naskhah tersebut mengangkat tradisi Indu Ngar (wanita yang mahir dalam tenunan Pua Kumbu) selain mengetengahkan elemen kekeluargaan.
Biarpun skrip asal cerita tersebut terpaksa diolah semula pada saat akhir, Danny gembira apabila matlamatnya untuk memaparkan tentang keistimewaan Indu Ngar tercapai.
“Pada awalnya cerita ini melibatkan tentang upacara keagamaan tetapi terpaksa ditukar disebabkan beberapa faktor plot penceritaan itu tidak dapat dilakukan.
“Namun, itu tidak mematahkan semangat saya. Walaupun ia perlu diubah semula bagi saya itu cabaran untuk menghasilkan karya berkualiti,” jelasnya.
Sementara itu, kajian terperinci telah dibuat selama beberapa minggu bagi mendapatkan inspirasi dan penceritaan yang realistik. Antara individu yang terlibat ialah Pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya, Dr. Welyne Jeffrey Jehom.
“Beliau merupakan anak angkat kepada Indu Ngar yang sebenar di Kapit (Sarawak). Selain itu ada beberapa pihak lain yang turut terlibat dalam pembikinan awal skrip cerita ini sehingga berjaya disiapkan.
“Telefilem ini menjalani penggambaran pada 16 hingga 31 Julai lalu di Betong dan Lubok Antu, Sarawak. Beberapa kawasan seperti rumah panjang dan sungai menjadi antara lokasi penggambaran,” katanya.
Menitikberatkan soal keselamatan, pihak produksi telah menyediakan dua buah bot bomba bagi memantau keselamatan kru selain memberikan bantuan segera.
“Sungai di Sarawak ada banyak buaya. Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini, kami meminta bantuan pasukan bomba sebagai langkah berjaga-jaga.
“Bukan sahaja serangan daripada haiwan buas, dikhuatiri juga jika kru terjatuh dalam sungai atau lemas,” jelasnya.
Selain memaparkan tentang kebudayaan, Selampai Labung turut mengetengahkan elemen kekeluargaan cucu Indu Ngar yang bernama Enny.
Naskhah Selampai Labung mengisahkan tentang Elvina lakonan Dewi Seriestha, cucu Enny sekali gus pewaris untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Indu Ngar yang telah pulang semula ke kampung halaman selepas berbelas tahun.
Kepulangannya telah membuatkan Gawin (Willy Alfred) berasa kurang senang kerana beranggapan Elvina pulang kerana ingin mendapatkan hasil tenunan Pua Kumbu peninggalan mendiang neneknya.
Elvina kemudian dipertemukan dengan Sunan (Johan As’ari) dan Jara (Samarinna Tolhip) yang menyimpan pelbagai rahsia mengenai datuk dan neneknya sebelum kedua-duanya meninggal dunia.
Telefilem terbitan Unit Drama TV RTM itu turut dibintangi Tony Eusoff dan Sherie Merlis. – HIBGLAM