Failkan cerai, Fazura terlalu cantik untuk bersedih – Netizen

TIDAK bersendirian berhadapan isu perceraian yang difailkan pagi tadi, pelakon Fazura meraih sokongan padu netizen yang ‘berkampung’ dalam Instagram miliknya.

Perkara tersebut dilihat dalam hantaran terbaharu Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, yang memuat naik gambar hitam putih ibarat simbolik berhadapan episod duka.

“Ini jalan kamu dan kamu sendirian, orang lain mungkin boleh hadir bersama-sama tetapi tidak ada yang akan mampu melakukan sesuatu untuk kamu,” tulisnya yang memetik kata-kata Rumi.

Rata-rata peminat yang mengikuti perkembangan rumah tangga pasangan terbabit meminta pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu terus kuat berdepan kemelut rumah tangga dengan suaminya, Fattah Amin.

“Fazura yang saya kenal orangnya kuat semangat,” kata peminat.

“Kasihan Fazura, dia terlalu cantik untuk bersedih,” ujar pengikut.

“Semoga terus kuat Fazura. Kami sayang awak dan Fatima sangat-sangat,” tutur peminat lain.

Pagi tadi, pengurus Fazura iaitu Iman Tang mengesahkan aktres itu memfailkan perceraian terhadap suaminya di Mahkamah Syariah Petaling.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa rumah tangga pasangan yang mendapat jolokan Fattzura itu dilanda badai.

Pasangan itu dilihat tidak lagi bersama dikebanyakan majlis selain tidak memuat naik gambar berdua dalam Instagram.

Namun pada Julai lalu Fazura menafikan spekulasi yang bertebaran dan menegaskan hubungannya dengan Fattah berada dalam keadaan baik.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin dan Abdul Fattah Mohd Amin mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok