Enggan lagi jadi ‘minah turut’ – Jaclyn Victor

DUA dekad bergelar anak seni bukan tiket untuknya mendabik dada apatah lagi bermegah dengan kejayaan dimiliki.

Begitu prinsip dipegang Jaclyn Victor yang mencipta nama sebagai bekas juara Malaysian Idol musim pertama.

Kala ini, dia bukan lagi berada dalam fasa mengejar populariti apatah lagi dunia glamor yang sudah dirasainya sebelum ini.

Masih bergelar penyanyi juga satu perkara yang sudah cukup membanggakan pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu.

Bersua muka pada sesi fotografi bersama Pose baru-baru ini, dia yang mesra disapa sebagai Jac berkata, kerjaya seninya baru sahaja hendak bermula.

Kedengaran aneh tetapi tegasnya itu yang berlaku ketika ini. 

Ujarnya, pengalaman sepanjang 20 tahun lalu adalah fasa pembelajaran sebelum terlahirnya seorang Jac yang lebih matang ketika ini.

“Sejujurnya, karier saya baru bermula, 20 tahun lalu adalah tempoh pembelajaran. Lama tetapi berbaloi.

“Maksudnya sekarang saya dalam fasa mahu mengambil tahu dan menceburkan diri untuk segala hal tentang kerjaya sebagai penyanyi,” katanya.

Lebih matang dan enggan berada di takuk lama, itu yang dirasakan pelantun lagu Satu Harapan berkenaan.

“Bukan nak cakap 20 tahun lalu adalah sia-sia. Inilah permainan industri seni tanah air dan selepas ini tak mahu lagi menjadi ‘minah turut’ selain hanya bersetuju tentang semua perkara melibatkan kerja.

“Saya nak terlibat dalam kerjaya sendiri selepas ini terutama dalam penghasilan lagu.

“Bukan nak cakap hebat tetapi akan cuba beri input. Sekarang saya akan praktikkan semua yang telah saya pelajari sejak dua dekad lalu,” tutur penyanyi berusia 45 tahun  itu.

JAC bangga melihat penggiat seni muda berbakat besar dan bijak mengatur kerjaya. – Foto IQBAL ROSLI

Tambahnya, dia tidak kisah sekiranya ada yang melihat kerjaya seninya baru bermula seperti pendatang baharu lain.

“Mungkin kedengaran saya lambat tetapi itu misi ketika ini. Saya tak mahu letak semua beban dan tanggungjawab pada bahu orang lain sahaja.

“Ini perjalanan baharu saya. Pasti akan lebih menarik selepas ini, biarlah tanggungjawab dan risiko itu saya ambil alih pula,” ungkapnya yang bukan lagi berada dalam fasa mengejar populariti.

Anggun dengan solekan hasil sentuhan Epie Temerloh, dia juga mengakui kagum melihat ramai artis baharu yang berusaha sendiri bagi memastikan diri mereka dikenali ramai.

“Saya bangga melihat ramai penyanyi baharu yang terlibat dalam setiap sudut pembikinan kerjaya dan karya mereka.

“Itu perkara bagus sebab mereka sudah belajar semua perkara termasuk hal secara teknikal. Bukan hanya duduk goyang kaki tunggu lagu sahaja,” ujarnya. 

Memuji beberapa nama baharu, Jac berpendapat mereka mempunyai idea dan tenaga yang sangat hebat untuk bergelar penghibur.

“Melihat penyanyi baharu sekarang, ramai yang bagus seperti Aisha Retno. Dia ada idea yang sangat hebat. Muzik diketengahkan juga unik dan dia penuh bertenaga.

“Zaman sekarang ada banyak platform untuk perkenalkan diri kepada umum. Banyak faktor yang boleh buat seseorang itu meletup. 

“Kalau ada suara sedap, itu sudah dapat satu markah tetapi adakalanya sukar juga untuk menjamin dapat kekal lama. Perlu hadir dengan pakej lain juga termasuk rupa dan cara pembawaan diri,” katanya lagi.

Menyelit cerita tentang konsert sulung yang bakal berlangsung pada 12 Oktober depan di Zepp KL, dia mengakui perasaan gemuruh mula menyelubungi dirinya.

Mana tidaknya, pada malam tersebut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu akan mendendangkan lebih 20 lagu dan perkara itu sangat mencabar kemampuannya.

“Saya gemuruh juga nak menyanyikan lebih 20 lagu dalam satu malam, tetapi demi peminat, saya akan realisasikannya.

“Sebenarnya, saya tidak tertekan sangat pun tetapi orang kena faham saya hanya manusia biasa dan bukan mesin.

“Apa-apa pun, saya akan cuba berikan yang terbaik untuk kepuasan penonton,” tuturnya.

Dia juga berharap orang ramai berhenti meletakkan sebarang harapan atau ekspektasi tinggi untuk konsertnya nanti.

teruja mahu memberikan yang terbaik untuk konsert sulung yang bakal berlangsung 12 Oktober depan.- Foto IQBAL ROSLI

Katanya, orang ramai perlu hadir sendiri untuk merasai pengalaman tersebut.

“Kalau orang tanya sudah bersedia atau tidak, saya tetap akan cakap belum. Saya tak pernah ada konsert solo dan ini yang pertama, jadi datang dan rasailah sendiri.

“Saya pun melihat konsert orang lain dan jadikan inspirasi tetapi saya bukan penyanyi yang akan menari atau melompat sana-sini.

“Paling utama pada malam itu adalah menyanyikan semua lagu pada ‘key’ original,” kongsinya.

Penyanyi patriotik

Masih dalam ‘mood’ bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia, empunya badan sempat menzhirkan rasa bangga dilahirkan di bumi Malaysia.

“Negara kita sangat ‘cantik’ sebab ada banyak kaum dan agama yang hidup bersatu di bawah satu nama iaitu Malaysia.

“Sebagai penyanyi, saya lihat ada perpaduan dalam muzik. Seharusnya kita bawa lebih banyak elemen dari Borneo ke dalam muzik kita hari ini.

“Jangan sesekali malu dengan negara sendiri dan banggalah bergelar anak Malaysia. Banyak yang kita miliki tak boleh dapat di negara lain,” tuturnya.

Dalam masa sama, dia juga terharu melihat ramai menyanyikan lagu-lagu patriotik dendangannya setiap kali tiba bulan kemerdekaan seperti Aku Negaraku dan juga Gemilang yang mampu menyemarakkan semangat patriotisme.

“Saya bangga jadi sebahagian penyanyi yang sering diberikan kepercayaan untuk menyanyikan lagu berkonsepkan patriotik.

“Kalau orang pandang saya sebagai penyanyi lagu patriotik, saya terima gelaran itu dengan hati terbuka sebab peluang ini bukan semua orang boleh dapat.

“Bukan satu perkara memalukan pun sebaliknya harus bangga lagu sebegitu yang diperdengarkan setiap kali tiba bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia,” jelasnya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok