SEJAK kematian vokalis utamanya, Chester Bennington tujuh tahun lalu, Linkin Park yang pernah memanaskan industri muzik metal sejak 1996 seperti hilang dari radar.
Selepas beberapa tahun menyepi, kini kumpulan metal Amerika Syarikat itu kembali menerjah liga muzik antarabangsa dengan mempertaruhkan vokalis baharu, Emily Armstrong.
Bukan hanya Armstrong, Colin Brittain yang merupakan pemain dram turut mengisi barisan Linkin Park sambil mengekalkan ahli lama seperti Mike Shinoda, Brad Delson, Phoenix, dan Joe Hahn.
Kehadiran bekas anggota kumpulan Dead Sara itu menjadikan dirinya satu-satunya bunga dalam Linkin Park, sekali gus menggalas tanggungjawab bersama Shinoda sebagai vokalis.
Kongsi Shinoda, pemilihan Emily dibuat berdasarkan tona vokal yang dirasakan paling tepat menggantikan posisi Chester setelah lebih dua dekad memperjuangkan muzik Linkin Park.
Sejak ketiadaan Chester, saya terfikir tentang vokalis baharu dan kami cuba mencari penyanyi sesuai menggantikannya.
“Apabila mula mendengar nyanyian Armstrong, saya terus boleh membayangkan dia boleh membawakan lagu Linkin Park,” kata Shinoda dalam satu wawancara media antarabangsa.
Tak direstui
Namun, anak kepada Chester Bennington, Jaime tidak merestui kehadiran Emily kerana dikatakan seolah-olah tidak menghormati warisan mendiang bapanya.
“Adakah kalian fikir tempat Chester boleh digantikan?
Seluruh dunia tahu bahawa beliau tak boleh digantikan kerana hanya ada satu Chester dalam dunia ini.
“Namun, ramai yang masih merindukan muzik Linkin Park dan biar mereka meraikan warisan dengan pendatang baharu,” katanya dalam Instagram.
Sejurus pengumuman kehadiran Armstrong, timbul kritikan mengenai sokongan wanita itu terhadap Danny Masterson, seorang selebriti yang terkait jenayah rogol.
Bekas bintang That 70s Show itu dijatuhi hukuman 30 tahun penjara seumur hidup pada 2023, selepas disabitkan dengan dua daripada tiga tuduhan rogol pada tahun sama.
Disebabkan hubungan dengan Danny, Jaime turut mempersoalkan tindakan anggota Linkin Park yang gagal mengkaji latar belakang ahli baharu dengan terperinci sehingga tercetus pelbagai kontroversi sejak awal penglibatan lagi.
Sedar dirinya menjadi sasaran, Armstrong membuat penafian terbuka bahawa dia tiada kaitan dengan Danny Masterson.
Beberapa tahun lalu, saya telah diminta menyokong seseorang yang saya anggap kawan untuk hadir ke mahkamah dan pergi ke satu perbicaraan awal sebagai pemerhati.
“Tidak lama kemudian, saya menyedari bahawa saya tidak patut terlibat.
Saya sentiasa cuba melihat kebaikan orang dan saya salah menilai dia. Saya tidak pernah bercakap dengannya sejak itu,” jelasnya.
Meskipun dihambat kontroversi, Armstrong tetap mahu bersama-sama memperjuangkan muzik bersama Linkin Park.
Awalnya, saya tak pasti mahu menyertai kumpulan ini atau tidak. Namun selepas difikir semula, ini menyeronokkan.
“Pada saat menyanyikan lagu daripada album Hybrid Theory, saya fikir boleh beraksi,” ujarnya.
Dalam sama sama Armstrong tidak menyangka dapat berada sebaris dengan anggota Linkin Park lain.
“Saya tak sangka dapat menjadi sebahagian keluarga Linkin Park.
Saya ingin membanggakan Bennington dan meneruskan legasinya,” luah Amstrong.
Lebih menarik, Linkin Park bakal melancarkan single terbaharu mereka berjudul The Emptiness Machine dan album terbaharu, From Zero menjelang 15 November nanti.
Sebelum berhasil dengan material baharu, Linkin Park memacu dengan sebuah konsert melepaskan kerinduan buat peminat di Los Angeles baru-baru ini.
Persembahan tersebut berlangsung selama 50 minit dengan 27 buah lagu yang dipersembahkan.
Biarpun dihimpit kontroversi, kehadiran 17,000 pengunjung nyata memberi isyarat sokongan ramai terhadap wanita itu untuk meneruskan perjuangan Linkin Park.
Kunjungan tersebut akan diteruskan dengan konsert di Pusat Barclays New York pada 16 September, diikuti empat lagi destinasi di Jerman, United Kingdom, Korea Selatan, Colombia dan Malaysia akhir bulan ini. – HIBGLAM