Elly Mazlein takut dibenci

JIKA tahun lalu wajahnya kerap menghiasi televisyen dengan mengacarakan program besar seperti Big Stage dan Gegar Vaganza, tahun ini Elly Mazlein seakan-akan menjauhkan diri daripada lensa kamera.

Dia dilihat lebih selesa berada di konti radio mengendalikan segmen carta Era setiap hujung minggu. Cuma sesekali kelibatnya muncul menyerikan televisyen memenuhi jemputan khas.

Kini, selepas hampir setahun tidak mengacarakan program mega, peminat dapat melepaskan kerinduan melihat telatah lincah Elly mengendalikan Kilauan Emas musim ketujuh yang akan bersiaran menerusi saluran Astro Prima bermula hari ini (14 September).

Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, dia sengaja berehat seketika kerana itu sebahagian daripada strateginya.

TERUJA bakal mengacarakan program pertandingan nyanyian Kilauan Emas musim ketujuh yang bermula malam ini di saluran Astro Prima. 

“Sebenarnya saya suka susun strategi dalam kerjaya kerana mahu orang tertunggu-tunggu kemunculan saya. Jika terlalu kerap muncul di kaca televisyen, orang akan mula bosan.

“Tetapi baru-baru ini selepas buat kemunculan istimewa dalam program Gimme The Mic Malaysia dan The Hardest Singing Show, orang dah mula meluahkan rasa rindu. Memang ini yang saya inginkan.

“Tiba-tiba saya dapat tawaran untuk menjadi hos Kilauan Emas musim terbaru. Pada asalnya saya merancang untuk berehat sehingga tahun depan tetapi apabila program ini disiarkan hampir ke hujung tahun jadi saya terima,” katanya.

Mengacarakan program Kilauan Emas ibarat melengkapkan resume kerjayanya sebagai hos program hiburan.

Jika sebelum ini Elly menjadi hos acara yang melibatkan artis muda atau BBNU, kemudian artis senior, terkini dia perlu mengendalikan peserta yang terdiri daripada warga emas pula.

Kata Elly dia gembira diberi peluang mengendalikan program yang begitu dekat di hatinya dan rakyat Malaysia.

“Kilauan Emas adalah program hiburan yang boleh ditonton seisi keluarga setiap hujung minggu. Saya sendiri suka menonton program ini.

“Insya-Allah, kemunculan saya dalam pertandingan realiti ini bakal mengubati kerinduan peminat,” jelasnya.

SELESA membawakan karakter gila-gila ketika mengacara dan mahu mengekalkannya. 

Rebutan stesen TV

Dikhabarkan nama Elly menjadi rebutan dua stesen televisyen gergasi negara. Masing-masing mahu dia menjadi hos program penting stesen masing-masing.

Mengulas lanjut perkara itu, Elly dilihat cukup berhati-hati menyusun baik-bait jawapan agar tidak mengguris hati mana-mana pihak.

“Macam mana nak cakap ya. Sekarang ini keutamaan saya adalah terima program yang buat saya rasa gembira ketika mengendalikannya.

“Program tersebut perlulah kena dengan jiwa saya. Setiap kali saya mengacarakan sesebuah program saya perlu membawa karakter yang gila-gila. Kalau saya ‘control’ ayu nanti penonton tutup TV dik.

“Alter ego saya di atas pentas adalah untuk menghiburkan orang ramai. Tetapi sebelum saya nak menghiburkan orang lain, saya perlu hiburkan diri sendiri dengan memilih program yang saya betul-betul rasa selasa,” ujarnya.

Tambah bekas pelakon drama Gerak Khas itu lagi, dia tidak akan sesekali menerima tawaran yang menuntutnya menjadi orang lain.

“Maksud menjadi orang lain adalah saya tidak mahu menjadi watak yang akan dibenci ramai.

“Selain menjadi pengacara saya juga penyampai radio, penyanyi dan pelakon. Jika saya semai kebencian dalam diri penonton, perkara ini akan menjejaskan imej serta kerja saya,” ujarnya.

Konsert sulung

Antara perkara yang tercatat dalam rangka kerja Elly bagi tahun 2024 adalah konsert sulungnya selepas lebih 25 tahun bergelar penyanyi.

IMPIAN jadi kenyataan, Elly berjanji melakukan yang terbaik sewaktu Konsert Farmasi Sondzation November nanti.

Ibu kepada dua zuriat itu bakal terlibat dengan Konsert Farmasi Soundzation yang menggabungkan artis dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia yang turut melibatkan penyanyi popular Bunga Citra Lestari dan Ghea Indrawari.

Kata Elly, dia tidak sangka disunting sebagai pengacara dan dalam masa yang sama turut membuat persembahan dalam konsert yang akan berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 30 November depan.

“Sejujurnya sampai sekarang saya masih terkejut apabila ditawarkan terlibat dengan konsert ini. Walaupun bukan konsert solo, ini sudah cukup besar bagi saya.

“Saya bukanlah penyanyi utama tetapi sambil mengacara saya akan menyanyi. Saya tak fikir panjang dan terus terima tawaran ini.

“Lagipun saya tidak pernah ada konsert sendiri. Jadi peluang ini tak mungkin saya lepaskan. Impian saya akhirnya menjadi kenyataan,” kongsinya.

Biarpun hanya akan menyanyikan beberapa lagu, Elly berjanji untuk memberikan yang terbaik buat peminatnya.

“Apabila melibatkan dua negara dan buat pula di negara kita, semestinya saya mahu lakukan yang terbaik.

“Saya akan perlahankan aktiviti seni menjelang konsert untuk berlatih menyanyi dan bersenam kerana agak lama juga saya tidak beraksi di pentas besar.

“Saya juga akan ke kelas vokal bagi memastikan suara saya berada dalam keadaan baik sewaktu konsert nanti,” katanya mengakhiri perbualan. – HIBGLAM

 

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok