Elak anak diintai pemangsa pedofilia, Sam jaga privasi

PENYANYI Sam Bunkface memilih tidak berkongsi wajah anak dalam media sosial sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan permata hatinya itu terdedah dengan gejala tidak bermoral membabitkan pemangsa kanak-kanak.

Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 37, berkata, dia sengaja berbuat demikian selain sentiasa merujuk kepada ajaran Islam yang mendidik umatnya untuk mencegah sebelum berlaku sebarang masalah.

Bagi saya, golongan ‘haram jadah’ yang menyukai kanak-kanak wajar dibendung bermula daripada kita sendiri dan dalam Islam pun, kita diajar untuk mencegah.

“Jadi ada benda yang perlu dan tak perlu dilakukan contohnya, muat naik sesuatu hantaran tidak sepatutnya dalam media sosial terutama membabitkan anak kecil.

Sebab itu, kita kena mencari ilmu dan terus belajar bagi mengelakkan sebarang risiko termasuk menggunakan media sosial secara bertapis,” katanya kepada HibGlam.

Sam berkata demikian bagi mengulas sikap tidak segelintir ibu bapa yang seolah-olah membiarkan anak mereka menjadi tumpuan ramai di platform maya dan tanpa sedar diintai pedofilia.

Begitupun, bapa kepada dua cahaya mata itu mengakui perkongsian dalam media sosial terpulang kepada pendapat masing-masing biarpun secara peribadi dia sangat menjaga privasi anak-anaknya.

Ketenangan daripada terdedah kepada sebarang risiko menjamin kebahagiaan dalam kehidupan. Mudah sahaja. Saya juga tak boleh menghakimi cara orang lain.

“Saya memang bukan macam orang lain. Saya lebih banyak menjaga privasi saya dan keluarga. Itu yang membuatkan saya rasa lebih bahagia.

Apabila kita jaga privasi, tiada orang peduli, bertanya atau membuka aib kita. Semakin meningkat usia, kita semakin faham dan peka keselamatan anak lebih utama,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Bunkface di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), semalam.

SELEPAS 10 tahun, Bunkface kembali menghangatkan pentas DFP 28 September ini. 

Beralih perihal konsert yang akan berlangsung pada 28 September nanti, Bunkface yang sebelum ini pernah berada di pentas sama pada 2014 bakal mempersembahkan hampir 20 lagu popular mereka.

“10 tahun lalu kami pernah berada di DFP membawakan lima lagu dan pihak sama mengundang Bunkface sekali lagi untuk beraksi dalam sebuah konsert penuh.

Apabila pengurusan gelanggang gah mempelawa kami pada awal tahun ini, sudah tentu kami teruja kerana dapat berkumpul sekali lagi di sini.

“Aura sebuah dewan yang menjadi pentas banyak persembahan hebat penggiat seni dalam dan luar negara tentu berbeza bahkan kemunculan kali ini pastinya berlainan berbanding sedekad lalu,” ujarnya.

Selain Sam selaku vokalis, Bunkface yang mengukuhkan nama di arena seni sejak 15 tahun lalu turut dibarisi Youk (bass), Pa’an (gitar utama) dan Biak (dram).

Tiket konsert berharga antara RM158 hingga RM288 atau tempat duduk suite RM388 dan Rm488 boleh ditempah di [email protected]. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok