Duta Salam Taiwan buka mata Nabila

HAMPIR sedekad bergelar anak seni, penyanyi dan pelakon Nabila Razali menyifatkan pelantikan sebagai Duta Salam Taiwan 2024 sebagai satu pencapaian bermakna buat dirinya. 

Bersyukur dengan kepercayaan  yang diberikan, Nabila akan memberikan yang terbaik bagi memastikan matlamat tanggungjawab tersebut tercapai. 

Akui Nabila, Taiwan merupakan antara destinasi pelancongan yang mempunyai pelbagai tarikan menarik untuk dikunjungi. 

“Pelantikan sebagai Duta Salam Taiwan 2024 banyak membuka mata saya mengenai komitmen jitu Taiwan sebagai destinasi pelancongan yang mesra muslim. 

“Banyak perkara baharu yang saya terokai sepanjang berada di sana. Lebih istimewa, Taiwan sangat sesuai untuk dijadikan destinasi pilihan percutian seisi keluarga kerana ia menawarkan pelbagai tarikan yang tersendiri.

“Saya sangat berbesar hati dapat berkongsi pelbagai informasi menarik mengenai Taiwan. 

“Bahkan, saya sangat teruja apabila berpeluang memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia, terutama masyarakat Islam untuk meneroka sebuah lagi destinasi pelancongan mesra Muslim,” katanya.

Biarpun sudah tiga kali menjejakkan kaki ke Taiwan, Nabila masih belum berasa puas dan berhasrat untuk meneroka keindahan pulau itu lagi. 

“Taiwan membuatkan saya sentiasa teruja kerana mempunyai banyak lokasi menarik untuk dikunjungi, sama ada dari segi hiburan, pesona alam semula jadi, pemandangan yang tidak pernah menjemukan pancaindera dan keindahan budaya.

“Seperkara yang membuat Bella begitu selesa adalah penduduk Taiwan sangat peramah dan mesra membuatkan saya berasa selamat, meskipun ketika bersiar-siar bersendirian. 

“Sistem pengangkutan awam yang sangat efisien juga memudahkan kita untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain,” katanya. 

Pelantun lagu Selagi Ku Ada itu turut berkongsi pengalaman manis saat berkunjung ke Taiwan. Antaranya berpeluang menyusuri kawasan lereng bukit di Bitoujiao Trail. 

Selain menawarkan pemandangan mempesona, keindahan alam semula jadi yang ditawarkan di Bitoujiao Trail menjadi kawasan itu sebagai pilihan utama penduduk setempat dan pelancong luar.

Tidak hanya itu Nabila turut berpeluang menikmati masakan Muslim Taiwan antaranya potongan ayam goreng yang membuka selera, selain mencuba sendiri menyediakan sajian tradisional, Hakka Lei Cha (teh yang dikisar).

“Ayam goreng itu antara sajian enak. Insya-Allah, jika ada kesempatan lagi, sudah tentu saya akan bawa suami bersama untuk menikmati pelbagai tarikan yang ada di Taiwan.

“Saya yakin pelantikan sebagai Duta Salam Taiwan 2024 memberi impak besar kepada perjalanan karier seni di samping menggunakan populariti yang dimiliki untuk mempromosikan Taiwan kepada masyarakat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, MOTC, Chou Ting-chang berkata, sejak 2018, Pentadbiran Pelancongan Taiwan telah membina jenama Salam Taiwan dalam pasaran orang Islam Malaysia, sekali gus menarik minat pelancong Muslim ke sana. 

Jumlah pelancong Malaysia berkunjung ke Taiwan sebanyak lebih 200,000 antara Januari dan Mei 2024 menyaksikan pertumbuhan hampir 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan ini mendorong Taiwan untuk terus komited dalam usaha menampung keperluan pengembara beragama Islam,” katanya.

Untuk menarik lebih ramai pengunjung Muslim dari Malaysia meneroka keindahan bumi Taiwan, Pentadbiran Pelancongan Taiwan turut mengambil bahagian dalam Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair 2024) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 6 sehingga 8 September ini. 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok