RASA seperti mati hidup semula, pelakon Kim Woo-bin mengakui sebak apabila mengimbau kembali perjuangannya melawan penyakit kanser Nasopharyngeal yang dihidapinya kira-kira tujuh tahun lalu.
Ujar aktor berusia 35 tahun itu, doktor memberikan anggaran jangka hayatnya hanya tinggal enam bulan sahaja dan kenyataan itu memberikan tamparan hebat buat dirinya.
“Saya seorang yang positif dan sentiasa cuba untuk mencari kelebihan diri dalam apa juga keadaan.
“Itu umpama adegan dalam drama apabila doktor tiba-tiba kata saya mungkin hanya ada enam bulan untuk hidup.
“Saya terkejut, takut dan berharap itu hanyalah mimpi. Tapi walaupun takut saya tidak pernah terfikir bagaimana sekiranya saya tidak dapat mengatasi masalah ini. Itu tak langsung terlintas dalam fikiran saya,” katanya menerusi satu rancangan temu bual.
Woo-bin meluahkan rasa syukur kerana menerima sokongan ramai sebagai kekuatan untuk dia melawan penyakit tersebut.
Pada 2017, agensi Woo-bin mengesahkan pelakon itu menghidap kanser Nasopharyngeal iaitu sejenis kanser yang berlaku di antara saluran pernafasan dan tekak.
Bagaimanapun, jejaka tampan itu bernasib baik kerana kanser tersebut dikesan pada peringkat awal sebelum merebak ke tempat lain dan disahkan bebas kanser pada 2019. – HIBGLAM