SELEPAS tujuh tahun berehat, akhirnya program hiburan yang mengangkat bakat-bakat generasi X (45 tahun ke atas), Kilauan Emas kembali bersiaran bulan ini menerusi saluran Astro Prima.
Menggunakan tema ‘otai kembali berbisa’, Kilauan Emas dijangka kembali menghiburkan malam Sabtu rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd. Salleh, Kilauan Emas yang pernah diterbitkan sebanyak enam musim direhatkan selama tujuh tahun kerana ingin memberi laluan kepada program Gegar Vaganza.
“Sebenarnya kami tidak bercadang untuk merehatkan program Kilauan Emas sehingga tujuh tahun.
Tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, maka tempoh rehat itu berlanjutan sehingga tujuh tahun.
“Namun dalam tempoh itu, kami sering kali mendapat pertanyaan bila program ini akan membuat kemunculan semula.Jadi, tahun ini kita kembalikan Kilauan Emas atas permintaan ramai,” katanya.
Sebanyak 3,000 penyertaan diterima menerusi uji bakat secara dalam talian. Namun hanya 500 peserta yang terpilih untuk hadir ke sesi uji bakat secara fizikal yang berlangsung di Shah Alam awal Ogos lalu.
Hasil daripada sesi uji bakat tersebut, 20 peserta telah disenarai pendek dan akhirnya 12 peserta dipilih sebagai finalis.
Pengacara popular Elly Mazlein diberikan mandat untuk menggalas tanggungjawab sebagai hos utama program yang akan berlangsung selama lapan minggu ini.
Sementara Joey Daud pula dipilih sebagai pengacara di belakang tabir.
Menurut Elly dia teruja diberikan peluang untuk mengacarakan program yang dekat dengan dirinya dan penonton.
Saya memang nak sangat mengacarakan Kilauan Emas kerana saya suka dengan program ini. Program ini melibatkan tontonan seisi keluarga yang dekat dengan saya.
“Tambahan pula kita ada barisan juri yang hebat-hebat belaka. Begitu juga dengan peserta tahun ini,” katanya.
Kembali duduk di kerusi juri selepas tujuh tahun ialah pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira.
Erra akan ditemani dua lagi juri iaitu Datuk Hattan dan Roy Azman serta seorang juri jemputan setiap minggu.
Erra mengkui teruja untuk kembali menggalas tanggungjawab sebagai juri selepas kali terakhir pada tahun 2015.
“Saya sangat teruja apabila dipanggil semula untuk jadi juri. Bagi saya program ini lain daripada yang lain.
Kilauan Emas satu-satunya program yang memberi peluang kepada warga emas mempamerkan bakat mereka.
“Peserta untuk program ini lain dengan program pencarian bakat generasi muda. Mereka ini sudah berpengalaman, ada karakter tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan cara orang lain,” kongsinya.
Perkara sama turut diakui oleh Datuk Hattan yang juga pernah menjadi juri sebelum ini.
“Ada antara peserta yang mampu menyanyi lagu bernada rendah dengan baik. Sudah lama kita tak jumpa penyanyi yang boleh menyanyi nada rendah sebaik itu,” ujarnya.
Kesemua 12 peserta yang terpilih mempunyai latar belakang yang berbeza termasuklah pesara tentera, bilal, suri rumah dan pejuang kanser.
Antara 12 peserta yang terpilih untuk musim baharu termasuklah Sidi (53 tahun), Sue (46 tahun), Dino (68 tahun), Ina (46 tahun), Hamid (54 tahun), Atie (49 tahun), Budin (56 tahun), Balqis (60 tahun), Ron (60 tahun), Maria (49 tahun), Wan (49 tahun) dan Gie (47 tahun). – HIBGLAM