“Dia tepuk belakang saya” – Hariz Hamdan ‘dibenci’ kerana Farouk

Gara-gara membawakan watak antagonis, pelakon Hariz Hamdan mengakui dia pernah dipukul dan dimarahi seorang wanita warga emas.

Kata Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 22, insiden itu berlaku ketika dia sedang menikmati malam di sebuah kedai makan baru-baru ini.

“Waktu saya sedang makan di kedai itu tiba-tiba ada seorang mak cik ini dia tepuk belakang badan saya. Memang terkejut sebab saya fikir siapa yang berbuat begitu.

Rupanya mak cik itu hendak cakap yang dia benci sangat tengok watak lakonan saya sebagai Farouk dalam drama Bunga Salju.

“Tidaklah pukul terlalu kuat, tetapi makcik itu memang kta dia marah sangat dengan Farouk,” katanya kepada HibGlam.

Biarpun dimarahi penonton, namun Hariz mengakui selesa dengan perkara tersebut kerana itu membuktikan lakonannya berkesan.

“Saya terbuka apabila ada yang marah dengan watak dilakonkan kerana itu secara tidak langsung membuktikan yang lakonan saya menjadi.

Cukup orang mengenai saya dengan mutu lakonan dan bukan kerana cerita panas,” kata finalis Hero Remaja 2020 itu.

Hariz turut menafikan dia akan sengaja mencetuskan kontroversi semata-mata ingin bersaing dengan lambakan pelakon baharu.

Mencipta kontroversi dengan sengaja itu bukan cara saya. Kalau boleh saya ingin mereka kenal saya dengan bakat dan bukan kontroversi seperti orang lain buat.

“Pada saya fokus dengan lakonan, saya dengar apa yang dikatakan oleh pihak pengurusan dan percaya dengan proses (takdir) yang Allah telah tentukan,” jelasnya.

Selain Hariz drama Bunga Salju arahan Ejump Mohd yang bersiaran di saluran Astro Ria itu turut dibintangi oleh Hisyam Hamid dan Amyra Rosli. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok