PETALING JAYA – Pelakon Nur Fazura nekad mahu bercerai dengan suaminya, Fattah Amin demi maruah serta kesejahteraan hidup bersama anak, Nur Fatima Aisya.
Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, memohon orang ramai mendoakan proses perceraiannya berjalan lancar.
Pada hari ini, Faz (Fazura) kekal nekad untuk meneruskan keputusan sebelum ini demi maruah sebagai wanita dan kesejahteraan Fatima dalam hidup Faz.
“Mohon doakan Faz dapat menyempurnakan proses ini dengan baik dan lancar.
Terima kasih sekali lagi diatas semua kata-kata semangat, sokongan dan doa untuk Fatima serta Faz sekeluarga,” katanya dalam hantaran Instagram.
Menerusi perkongsian sama, Nur Fazura menyertakan foto hitam putih dirinya memeluk Fatima.
Perkongsian itu dibuat hanya beberapa jam selepas penyanyi juga ahli perniagaan itu hadir bagi sebutan kes permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini.
Pelakon filem Gol & Gincu itu turut menitipkan ucapan penghargaan buat mereka yang tidak putus memberikan kata-kata semangat.
Ujar Fazura lagi, dia mengambil keputusan tersebut selepas mempertimbangkan masa depannya bersama Fatima.
Pertama sekali, Faz ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan, doa yang baik, kata-kata semangat serta bunga dan tanda hati kepada Faz sejak lebih seminggu lalu.
“Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi kepada semua.
Keputusan yang telah Faz buat pada 13 September lalu bukanlah sesuatu yang diambil dengan ringan tanpa sebarang pertimbangan dan refleksi yang mendalam tentang masa hadapan Fatima dan Faz,” ujarnya.
Terdahulu, Fattah, 33, dalam sebutan kes permohonan cerai di mahkamah hari ini tidak bersetuju untuk melepaskan isterinya selain mengakui masih menyayangi wanita itu.
Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti terbabit ke tarikh baharu iaitu pada 7 Oktober ini.
Isu keretakan rumah tangga mereka menjadi topik hangat dalam media sosial apabila dikatakan tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing.
Selepas itu, pada 13 September lalu, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dengan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4. – HIBGLAM