Demam panas, hidung berdarah, Ameena masuk hospital

Akibat demam panas berpanjangan sehingga hidung berdarah, anak kepada pelakon Shakilla Khoriri iaitu Ameena Sofia terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

Ujar Shakilla atau nama sebenarnya Nurul Shakilla Mohd Khoriri ,35, dia mengambil keputusan membawa puteri sulung kesayangannya itu ke hospital selepas melihat keadaannya tidak bermaya dan hilang selera makan selama berhari-hari.

“Selepas seminggu demam, antibiotik pun tak jalan sampai berdarah hidung, tak makan dan minum untuk beberapa hari. Akhirnya kita ke sini.

“Petang tengok Ameena makin lemah kemudian kita ambil keputusan bawa Ameena pergi hospital.

“2 pagi tadi baru selesai dan baru dapat tidur. Berhimpit berdua atas katil,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram Story.

Mengakui sangat lelah melalui hari yang sukar demi menguruskan anaknya, pelakon drama Suri Hati itu bagaimanapun bersyukur dengan kehadiran suami yang banyak membantu meringankan bebannya.

“Umi yang rasa berpinar. Semalam subuh dah bangun hantar Ameena sekolah, terus ke kedai sampai petang dengan staf semua tak datang sebab sakit.

“Dalam orang lain sedap tidur, Umi bersusah payah menguruskan itu dan ini untuk awak.

“Beruntung kita ada pakcik Fariz yang selalu tolong Umi selesaikan banyak benda,” ujarnya.

Shakilla pernah mendirikan rumah tangga bersama penyampai radio Fizi Ali pada Januari 2018 namun mengumumkan perceraian pada Disember 2021.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan. Ameena, 5.

Shakilla kemudiannya melangsungkan perkahwinan keduanya dengan Fariz pada 24 Februari 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok