‘Darth Vader’ meninggal dunia akibat diabetes

PELAKON James Earl Jones, yang sebelum ini meminjamkan suaranya bagi watak penjahat Darth Vader dalam siri filem Star Wars dilaporkan meninggal dunia, kelmarin.

Menurut wakil syarikat pengurusannya, mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun namun tidak berkongsi punca kematian aktor berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan James turut menderita penyakit diabetes.

Selain watak Darth Vader, pelakon Amerika Syarikat (AS) itu turut menyumbangkan suara dalam beberapa watak animasi terkenal lain seperti Mufasa dalam filem Lion King.

Sepanjang kerjayanya, beliau berjaya menarik minat orang ramai dengan keupayaannya membawa pelbagai watak sama ada sebagai pelakon atau pun menggunakan suaranya dalam babak animasi.

Earl Jones turut memenangi tiga anugerah berprestij termasuk dua Anugerah Emmy, Anugerah Grammy serta Anugerah Oscar bagi pencapaian sepanjang hayat.

Pada tahun 1971, beliau menjadi lelaki kulit hitam kedua yang dicalonkan untuk Academy Award bagi pelakon lelaki terbaik, selepas Sidney Poitier.

Berita kematian James turut mendapat penghormatan dalam media sosial termasuk beberapa selebriti, rakan kerja dan peminat meluahkan rasa sedih dan mengucapkan takziah buat keluarga mendiang.

James meninggalkan seorang anak lelaki iaitu Flynn Jones dan isterinya pelakon Celia Hart meninggal dunia pada tahun 1982 akibat kanser. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok