‘Dah tak selamat, keluar rumah pun mesti berteman’

BIMBANG melihat peningkatan kes jenayah mutakhir ini, pelakon Siti Khadijah mempelajari seni pertahanan diri demi menjaga keselamatan diri.

Siti atau nama penuhnyq Siti Khadijah Abdul Halim, 27, berkata, usaha tersebut sebagai salah satu cara yang boleh dipraktikkan sekiranya perlu mempertahankan diri pada waktu kecemasan.

“Bagi mempertahankan diri pada waktu yang kita tak boleh jangka, saya memilih untuk mempelajari seni mempertahankan diri iaitu judo, muay thai dan tinju.

“Walaupun sedar saya tak akan mampu tewaskan kudrat lelaki, sekurang-kurangnya ada asas untuk melawan,” katanya kepada HibGlam di set penggambaran drama Rahsiamu Selamat Denganku baru-baru ini.

Selain itu, dia juga mengakui tidak lagi keluar seorang diri bagi mengelakkan risiko berdepan perkara tidak diingini.

Tegasnya, pendekatan itu bukan sahaja perlu dipraktikkan oleh wanita malah golongan lelaki juga seharusnya melakukan hal sama kerana jenayah tidak lagi mengenal jantina.

“Sebelum ini saya jenis yang suka keluar rumah seorang diri, sangat berdikari tetapi sekarang tidak lagi. Kini, hendak pergi beli barang pun akan berteman atau ajak kawan.

“Saya juga ingatkan ahli keluaga agar tidak keluar berseorangan termasuk ibu dan ayah.

“Sekarang bukan perempuan sahaja tak selamat, lelaki juga sama,” ujarnya.

Tambah pelakon drama Wanita Syurga itu, jiwanya sangat tersentuh malah bimbang melihat banyak kejadian jenayah berlaku setiap hari.

“Saya berasa geram sebab kenapa Malaysia tiba-tiba macam ini?

“Sebelum ini kita semua hidup harmoni tetapi sekarang tiba-tiba dilanda dengan jenayah yang semakin lama semakin membimbangkan.

“Saya rasa sangat terkesan melihat ramai yang tersakiti (jadi mangsa). Setiap kali nampak cerita begitu, saya rasa geram,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok