‘Dah lama nak sekuel Duyung, sebelum saya cecah 80 tahun’

SELEPAS pengumuman sekuel Duyung yang berjudul Duyung: Legenda Aurora, ramai kaki filem tidak sabar menunggu naskhah tersebut selesai penggambaran. 

Sepertinya penantian selama 16 tahun tidak dipersia-siakan demi menyajikan lagi karakter duyung yang dimainkan aktres Maya Karin.

Bukan hanya penonton, pemilik nama lengkap Maya Karin Roelcke juga ternanti-nanti kesinambungan karya yang pernah memenangi Anugerah Khas Box Office pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) pada 2008. 

Meskipun pernah berhadapan insiden yang nyaris meragut nyawa, pelakon berdarah kacukan itu tidak berhenti memujuk Datuk Prof Ts. Dr. A. Razak Mohaideen agar naskhah tersebut diberikan kesinambungan.  

Ramai peminat asyik bertanya, bilakah sambungan filem Duyung. Meskipun berdepan cabaran fizikal, saya seronok bila filem ini menjadi kesukaan anak-anak Malaysia.

“Dalam YouTube pula, Duyung sudah ditonton berjuta orang. Jadi, sudah lama sebenarnya saya ajak pengarah buat sambungan filem ini sebelum usia saya mencecah 80 tahun,” katanya kepada HibGlam. 

Dalam masa sama, pelakon berusia 45 tahun itu bersyukur watak-watak yang pernah dibawakan sebelum ini seperti duyung dan pontianak masih melekat dalam kepala peminat filem tanah air. 

Saya pernah menjadi macam-macam makhluk. Saya juga tidak sangka impaknya akan sebesar ini. Kutipan filem Duyung mencecah RM7 juta dan pada waktu itu, memang sangat besar.

“Karakter filem ini juga sangat menarik sehingga sampai sekarang orang masih ingat Jimmy, Orix dan Duyung. Saya bertuah kerana  terlibat di dalam projek yang bertahan di hati penonton sehingga hari ini dan mungkin berpuluh tahun ke hadapan.

“Ramai artis yang menjalani penggambaran ‘back to back’ tetapi bila sudah ditayangkan, setahun kemudian, penonton lupa,” ujarnya. 

Maya bagaimanapun menegaskan watak-watak tersebut tidak mudah seperti yang dijangka kerana banyak pengorbanan dilakukan demi kelestarian karakter. 

Jangan ingat jadi pontianak dan duyung ini sesuatu yang mudah terutama sekali dari segi fizikal.

“Nak terbang dari pokok ke pokok dengan diikat tali berjam-jam memang sakit sehingga luka badan. Kostum duyung pula ambil masa empat jam untuk dipakai dan sejam untuk ditanggalkan.

“Orang luar tak nampak. Mereka hanya melihat kostum dan solekan yang cantik serta duyung yang comel-comel tetapi ini merupakan kerja keras namun, berbaloi,” jelasnya. 

MAYA enggan mengulas soal kostum duyung yang dikatakan agak terdedah. Dia cuma berharap khalayak faham di dunia mana sekali pun, duyung tidak memakai tudung.

Duyung seksi 

Mengalih perbualan, ditanya soal pemakaian duyung yang agak terdedah, pelakon filem Pisau Cukur itu enggan menghiraukan pandangan sesetengah pihak, selain mahu menjayakan komitmen di bahu dengan cemerlang seperti 16 tahun lalu. 

“Memang itulah duyung, tidak mungkin duyung bertudung. Jadi tidak asli nanti. 

Kalau tengok mana-mana cerita dongeng zaman kanak-kanak memang duyung begitu. Jadi, sesiapa yang mahu tularkan isu, jangan tengok. 

“Saya rasa tiada masalah sebab orang faham rupa duyung. Sebelum ini orang tidak komen pun,” tuturnya. 

MAYA Karin cukup berbesar hati apabila filem yang selama ini sudah ditonton berjuta-juta orang sejak 16 tahun akhirnya mempunyai kesinambungan.Paling pentin dia kembali menjadi duyung sebelum memasuki fasa warga emas.

Anna Jobling jadi anak 

Untuk sekuel berkenaan, bintang muda, Anna Jobling dalam menggalas tanggungjawab sebagai anak Maya Karin yang bernama Aurora. 

Pertama kali bekerjasama, Maya tiada masalah beraksi dengan pelapis baharu memandangkan dia sendiri mudah berinteraksi dengan semua pelakon.

“Saya tidak pernah bekerja dengan Anna tetapi kami ada hubungan yang baik. Dia juga sangat menghormati orang lain.

“Cuma saya belum tengok cara dia berenang. Kami kena aturkan masa kelak sebab cara renangan duyung lain. 

Saya rasa mungkin baik-baik sahaja, saya pun cukup senang bekerja dengan sesiapa sahaja,” ujarnya. 

Sebelum menutup bicara, Maya memaklumkan dia tiada hak menilai posisi Anna sebagai duyung kedua selain tidak sabar mahu menjalankan penggambaran di sekitar Lembah Klang. Pulau Langkawi, Pulau Payar dan Putrajaya bermula 13 September ini. 

“Saya tiada hak nak cakap berpuas hati atau tidak dengan kehadiran Anna sebagai duyung kedua. 

“Asalkan dia ada kebolehan berenang saya rasa cukup. Cuma kena betulkan cara renangan duyung sahaja. 

Saya tidak sabar nak menjalani penggambaran di Pulau Langkawi kelak,” tutupnya. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok