Bukan curang tapi tiada persefahaman – Peguam Fazura

PEGUAM syarie yang mewakili Nur Fazura, Fakhrul Azman Abu Hassan menafikan curang menjadi punca anak guamnya memfailkan perceraian terhadap pelakon Fattah Amin.

Fakhrul berkata, anak guamnya itu mahu berpisah kerana sudah tiada lagi persefahaman antara mereka, bukan kerana kehadiran orang ketiga

“Selepas permohonan cerai dibuat, Nur Fazura dan Fattah tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan.

Malah dalam permohonan cerai yang dibuat juga tiada langsung menyebut isu berkaitan curang, sebaliknya antara mereka tiada persefahaman,” katanya ketika ditemui selepas sebutan kes permohonan cerai.

Pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini, Fattah turut hadir bersama peguamnya, Zulkifli Che Yong.

Menurut Fakhrul lagi, isu curang yang disensasikan sehingga tular dalam media sosial hakikatnya dicetuskan pihak luar.

Semuanya berpunca daripada individu yang membuat kenyataan dalam media sosial terhadap perkara yang kami sendiri tidak pernah cakap.

“Kedua-dua pihak seboleh-bolehnya mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka tanpa mengaibkan mana-mana pihak,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai  tindakan mengunci mulut sejak permohonan cerai dibuat, ibu kepada seorang cahaya mata terbabit berkata, itu adalah yang terbaik buat masa ini.

Alhamdulillah itu lebih baik untuk saya. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari,hari ini menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti,  Fazura dan Fattah ke tarikh baharu iaitu pada 7 Oktober depan

Sebelum ini, gosip keretakan rumah tangga pasangan sensasi itu tular dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.

Tidak cukup itu, kisah rumah tangga mereka juga dibincangkan dalam sebuah laman sembang apatah lagi selepas permohonan cerai dibuat Nur Fazura terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok