DIA bintang papan atas! Predikat tersebut sudah cukup menterjemahkan posisi figura berbakat besar bernama Aina Abdul.
Bergelar penyanyi juga komposer, anak seni ini bagaikan kejora di langit muzik tanah air.
Berkali-kali diiktiraf di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) baik menerusi lagu mahupun vokal, keampuhan jenama personaliti bertubuh genit itu mustahil diragui.
Namanya bukan sahaja meniti di bibir khalayak dek nyanyian merdu, bahkan keunikan busana avant-garde yang digayakan dalam setiap persembahan turut mengukuhkan reputasinya.
Pun begitu, dengan segala kejayaan diraih seiring deretan lagu hits ciptaannya itu, tersimpan seribu satu kepayahan yang perlu dihadapi sehingga ke hari ini.
Sekalipun pelbagai anugerah berada dalam genggaman ditambah kejayaan konsert yang menghimpunkan 10,000 penonton di Axiata Arena tahun lalu, namun itu bukan tiket mudah untuk meraih kepercayaan penaja.
Cabaran bertalu-talu
Janji palsu dan kesukaran mendapatkan tajaan hampir membuatkan Aina patah hati hingga tidak ingin meneruskan konsert jelajah album sulungnya iaitu Imaji Tour bulan Disember nanti.
Bagaimanapun, setelah difikirkan masak-masak, penyanyi berusia 31 tahun itu tidak boleh menangguhkan lagi konsert jelajah tersebut kerana sudah mempunyai perancangan lain tahun hadapan.
“Terlalu banyak cabaran apabila berada dalam industri. Dulu tiada album dan bila sudah ada, timbul hasrat untuk mengadakan konsert pula. Tapi nak merealisasikan konsert bukannya mudah sehingga hampir dua tahun barulah Aina Abdul Imaji Tour terlaksana.
“Namun, saya ada sokongan yang sangat kuat oleh orang yang suka menonton persembahan saya. Peminat tahu kalau saya menyanyi saya akan gembira.
“Sejujurnya saya penat menunggu sebuah syarikat (penaja) yang boleh membantu saya. Kalau boleh saya tidak mahu bawa konsert ini ke tahun depan kerana itu bukan lagi masa untuk saya mempromosikan album Imaji,” ujarnya.
Meneruskan tekad yang ada, pelantun lagu Puas Sudah itu mengambil langkah untuk membiayai perbelanjaan sendiri menganjurkan konsert jelajah yang menelan bajet mencecah ratusan ribu.
Kata Aina, meskipun hanya dapat membuat persembahan di beberapa buah lokasi sahaja, dia sudah berpuas hati kerana dapat merealisasikan impiannya itu.
“Walaupun banyak penolakan (penaja) yang kami terima untuk menganjurkan konsert jelajah ini, itu tidak menjadi pengukur sama ada saya boleh meneruskan niat untuk membuat konsert atau tidak.
“Saya cakap dengan pasukan saya, tak kisahlah kalau tak dapat buat di banyak lokasi janji beri saya buat persembahan. Bagi saya menyanyi.
“Untuk menganjurkan konsert memerlukan kos tinggi, jadi saya keluarkan bajet sendiri sahaja. Konsert-konsert sebelum ini juga semua atas perbelanjaan dan kini sekali lagi kami melakukannya,” jelasnya panjang lebar.
Sedar diri
Dalam pada rancak menceritakan perancangan konsert jelajahnya kepada penulis, air mata Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu gugur berderaian barangkali terkenangkan betapa susahnya menjadi anak seni.
Sedar diri, perkataan itu berbutir daripada bibir Aina yang tidak menganggap setiap kemenangan yang diperoleh memberikan jaminan untuk menerima tajaan dalam setiap persembahan nyanyian.
“Saya tidak pernah menganggap dengan kemenangan di anugerah-anugerah besar membuatkan perjalanan seni saya menjadi lebih mudah. Saya sedar diri saya, kedudukan saya.
“Saya pun masih baharu dalam industri hiburan ini. Saya tidak berani untuk bercakap saya mudah untuk mendapat penaja selepas memenangi beberapa anugerah.
“Kalau perkara itu memang benar-benar berlaku (dapat tajaan), sudah tentu saya sangat gembira dan bersyukur dan saya tentunya terbuka serta sudi bekerjasama dengan siapapun,” ujarnya bersulam sebak.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.