KHALAYAK maklum bahawa pendapatan selebriti sangat lumayan apatah lagi artis ‘papan atas’ yang tidak putus deretan tawaran.
Itu belum termasuk bayaran sebagai duta, iklan mahupun penampilan khas dalam mana-mana acara.
Menerima pendapatan lumayan sebagai penyanyi dan pelakon, jadi tidak mustahil golongan tersebut mampu memiliki kediaman mewah dan mengumpul harta bernilai jutaan ringgit.
Kimchi Panas minggu ini merangkumkan kisah beberapa artis Korea Selatan yang memiliki kediaman mewah bernilai jutaan ringgit.
BoA
Penyanyi jelita, BoA juga tidak terkecuali daripada senarai Kimchi Panas minggu ini.
Wanita berusia 37 tahun itu telah memulakan karier nyanyian sejak berusia 13 tahun. Jadi tidak hairanlah dia mampu membeli rumah mewah yang dilaporkan bernilai jutaan ringgit.
Menurut sebuah laporan, BoA membeli kediaman mewah yang terletak di kawasan elit Sangji Ritzville, Gangnam dan dilengkapi dengan sistem keselamatan canggih.
Difahamkan, rumah mewah itu dilengkapi tiga bilik tidur dan tiga bilik mandi dengan pengawal khas.
Jang Geun-suk
Selain memiliki banyak koleksi kereta mewah, aktor Jang Geun-suk juga dilaporkan telah membeli sebuah rumah ‘orang kaya’ di daerah Nonhyeon, Korea Selatan.
Kediaman tersebut dilengkapi pelbagai fasiliti lengkap termasuklah kafe peribadi.
Harga rumah tersebut dikatakan bernilai RM17 juta dan dijangka nilainya bakal naik mendadak dalam 10 tahun lagi kerana lokasinya yang strategik.
Lebih mengujakan, kediamannya itu juga mempunyai sistem canggih menggunakan khidmat robot yang menyelenggara secara automatik.
Top
Siapa tidak kenal dengan anggota kumpulan BigBang Top. Menurut sebuah laporan, aktor berusia 36 tahun itu memiliki sebuah rumah di kawasan elit di Hannam-dong, Seoul.
Pada awalnya penyanyi tampan itu sekadar menyewa di kawasan berkenaan, namun setelah beberapa bulan dia membuat keputusan membeli rumah tersebut.
Rumah tersebut memiliki empat bilik tidur dan tiga bilik mandi selain turut dilengkapi dengan fasiliti lengkap seperti gimnasium, tempat latihan golf, kolam renang serta home theater.
Lebih menarik, rumah tersebut memiliki pemandangan indah menghadap Sungai Han.
Kediaman itu menerima sentuhan moden dan mempunyai sistem keselamatan terbaik bersesuaian dengan harganya sekitar RM15.2 juta
Kim Jun-su
Bagi pemuja bakat idola yang satu ini, pasti mereka sudah tahu bahawa Jun-su merupakan antara artis yang menerima pendapatan tertinggi sebagai penyanyi.
Dengan tawaran tidak putus-putus, anggota kumpulan JYJ itu dilaporkan telah membeli rumah di kawasan elit terletak di Winsle County Town House, Gyeonggi-do, Seoul.
Lebih mencuri perhatian, rumah tiga tingkat dengan rekaan moden klasik tersebut mempunyai sistem keselamatan yang sangat ketat bahkan, orang luar tidak mudah untuk memasuki kawasan berkenaan.
Menurut sebuah laporan, kediaman mewah itu bernilai hampir RM7 juta. – HIBGLAM