Bertolak-ansur, saling memahami kekuatan Cherry On Top

PADA asalnya kumpulan yang dianggotai enam orang anak muda iaitu Kuzan, 22, Osama, 23, Ayen Tommy, 25, Holy, 23, Didi, 22, dan Bobo, 18, dikenali sebagai Rock Ages.

Namun, setelah membuat pertimbangan, nama tersebut ditukar menjadi Cherry On Top, sekali gus menjadi penjenamaan semula kumpulan tersebut.

Akui Kuzan, nama baharu itu lebih bersikap komersial dan sesuai dengan imej mereka sebagai kumpulan rock anak muda.

Cherry On Top merupakan simbolik perkara baik.

“Kami mengharapkan kemunculan Cherry On Top dapat menyerikan lagi industri hiburan,” katanya.

Identiti

Terus bercerita, hala tuju muzik Cherry On Top yang lebih tertumpu ke arah rock progresif yang menjadi taruhan mereka dalam industri.

Bersesuaian dengan halwa telinga generasi muda masa kini, Cherry On Top turut mencatat kejayaan tersendiri apabila muncul dengan lagu kolaborasi bersama penyanyi juga guru vokal terkenal, Datuk Syafinaz Selamat.

SINGLE Ketagih duet bersama Syafinaz menjadi pertaruhan pertama Cherry On Top dalam industri muzik.

Tentu sahaja penyatuan tersebut menjadi satu pencapaian hebat buat mereka apatah lagi berpeluang menjalin kerjasama dengan nama besar dalam industri.

Lagu berjudul Ketagih tersebut menampilkan ciptaan Kusham manakala lirik oleh Syafinaz itu diiringi anggota band sendiri iaitu gitar (Osama), drum (Ayen Tommy), keyboard (Kuzam), gitar (Didi) dan bass (Bobo).

Kesemua mereka merupakan penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam bidang muzik kecuali Didi yang mengambil jurusan automotif di sebuah kolej tempatan.

Lagu Ketagih turut dimuatkan dalam album EP yang diterbitkan oleh syarikat rakaman One Scream Studio yang turut memuatkan tiga lagu lain iaitu Mengintai Rahsia, Menunggu, Resolusi dan Ketagih (extended version).

Titik persamaan

Bergerak secara berkumpulan, mencapai kata sepakat menjadi antara hal yang mencabar buat mereka sementelah masing-masing masih pekat mengusung darah muda.

Namun demi menjaga hubungan sesama ahli, kesemua mengamalkan fikiran terbuka dan berlapang dada untuk menerima pandangan antara satu sama lain.

“Kami saling bertolak-ansur dan berfikiran terbuka. Masing-masing pun terima dan dengar pilihan muzik ahli lain. Paling penting faham dan cuba belajar apa yang digemari serta tidak diketepi oleh ahli lain agar dapat mencapai kata sepakat,” jelas Bobo.

Sementara itu, menjadi satu-satunya bunga antara kumbang dalam band, Holy pula mengakui tiada masalah untuk bekerjasama dengan ahli kumpulan yang majoriti lelaki.

Kata pucuk muda kelahiran Papar, Sabah itu, sifat terbuka dan gemar berjenaka di studio membuatkan mereka senang bekerjasama.

Saya tidak ada masalah atau kesukaran bekerja dengan mereka. Mereka juga tidak membawa masalah di studio dan tidak terlalu mengikut emosi.

“Paling penting kita saling memahami dan bertolak-ansur kerana persefahaman itu penting untuk bergerak sebagai satu kumpulan,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok