PEMPENGARUH dan usahawan Siti Jamumall berhabis kira-kira RM200,000 bagi merealisasikan majlis persandingan impiannya bersama suami tercinta yang juga pempengaruh, Aiman Tak Kesah.
Ditemui dalam majlis persandingan yang diadakan Magica Monterez Hall di Shah Alam, semalam, Siti, 25, berkata, majlis persandingan itu turut diadakan bagi menghargai peminat yang banyak menyokongnya.
“Majlis persandingan ini menjadi hari istimewa buat saya apabila hari ini (semalam) juga merupakan hari jadi saya.
Selain meraikan hari jadi dan perkahwinan, saya juga ingin berterima kasih kepada peminat serta pengilkut media sosial sekali gus menjamu mereka makan.
“Kalau tidak campur dengan penaja, jumlah yang saya sudah gunakan untuk majlis resepsi hari ini lebih kurang RM200,000. Kalau ditambah dengan nilai tajaan yang diberikan, jumlah digunakan hampir mencecah RM300,000,” katanya kepada HIBGLAM.
Dalam pada itu, Siti atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahiddin menafikan dakwaan mengadakan majlis berskala besar itu kerana tidak berpuas hati dengan kecaman netizen susulan dia melangsungkan pernikahan di Satun, Thailand pada 1 Jun lalu.
“Saya buat majlis ini bukan sebab marah dengan mereka yang mengatakan saya berkahwin di Thailand. Mengapa mempersoalkan perkahwinan saya di sana?
Walaupun kami berkahwin di Thailand, tetap halal juga. Niat saya memang untuk menghargai peminat yang ingin melihat saya dan suami bersanding dan menggembirakan mereka,” katanya.
Dalam majlis sama, Siti dan Aiman atau nama sebenarnya Khairul Aiman Abdul Kudus, 21, membuat gimik dengan melakonkan semula kisah hidup mereka yang dianggap ‘sampah’ oleh netizen.
Kata Siti, gimik itu sememangnya dirancang untuk dipersembahkan semasa majlis perkahwinannya supaya dapat membuka mata masyarakat bahawa kisah mereka bukan sampah sebaliknya permata berharga.
Bertahun-tahun Siti dan Aiman buat live (siaran langsung) dan sejak daripada awal sehingga kini banyak kecaman diterima. Namun, syukur kerana ada peminat yang terus memberi sokongan.
“Sokongan mereka menjadikan kami lebih bersemangat untuk terus kuat dan boleh dikatakan hari ini kami sangat berbangga apabila melihat ramai mendoakan majlis perkahwinan kami dari jauh.
Malah, lebih 5,000 peminat hadir memeriahkan majlis persandingan ini. Agak kelam-kabut sebenarnya sebab tak sampai dua bulan pun kami lakukan persiapan.
“Terima kasih yang tak terhingga kepada abang saya yang banyak membantu. Saya sangat teruja dan gembira sebab ramai peminat dan pengikut kami hadir, terima kasih banyak-banyak,” katanya.
Majlis persandingan itu turut diserikan dengan persembahan oleh penyanyi Zizi Kirana dan Ayu Damit.
Terdahulu, Siti pernah berkahwin, namun bercerai selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil daripada perkahwinan itu dia dikurniakan dua anak lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 4, dan Putra Aiman Zafran, 2. – HIBGLAM