‘Bahagia itu sementara, sakit derita juga sama’

JIKA melihat kepada sosok tubuh serta raut wajahnya yang jelita, pasti ramai yang tidak akan percaya bahawa pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira sudah memasuki usia separuh abad tahun ini.

Pada usia 50 tahun, kejelitaannya sedikit pun tidak luntur malah terlihat semakin berseri dan ceria persis wanita muda seiring dengan gelarannya sebagai Primadona filem Melayu.

Tidak hairanlah kenapa Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Malaysia World 1992.

Pasti ramai wanita seusia yang cemburu melihat keindahan paras rupanya. Dalam masa yang sama, ramai juga menjadikan selebriti kelahiran Sungai Choh, Rawang Selangor itu sebagai inspirasi dalam menjaga kecantikan.

DIIKTIRAF sebagai antara wanita tercantik, Erra tidak pernah mendabik dada sebaliknya bersyukur dengan segala anugerah Allah terhadap dirinya.

“Pandangan manusia berbeza-beza. Cantik itu subjektif. Ada juga orang yang pernah cakap saya tak cantik.

“Saya pernah lalui situasi, tengah berjalan tiba-tiba ada suara seorang wanita yang berkata ‘tak ada la cantik sangat, biasa saja’.

“Yang penting saya membawa diri saya yang sebenar, tidak pernah nak berlagak cantik atau menjadi orang lain.

“Kalau cantik di mata anda, saya bersyukur kepada Tuhan kerana semua ini adalah kurniaan Allah. Kalau ada kekurangan pun saya terima kerana kita hanyalah manusia biasa,” katanya.

Elak stres

Erra juga tiada rahsia khusus dalam penjagaan diri selain cuba elakkan diri daripada tekanan atau stres.

“Sejujurnya tak ada rahsia. Apa yang boleh saya katakan cuba jangan streskan diri anda.

“Setiap orang ada fasa jatuh bangun. Jadi jangan biar stres menguasai diri. Doktor sendiri beritahu stres adalah kunci kepada segala penyakit.

“Kunci bahagia dan kunci penyakit semuanya ada di tangan kita. Kita sendiri yang mampu mengawalnya. Selagi boleh elak, kita elakkan,” ujarnya.

MASIH aktif melakukan aktiviti menyelam, menunggang motosikal dan bermain badminton demi menjaga kesihatan.

Ditanya apa yang dilakukan untuk mengelakkan diri daripada stres, kata Erra, setiap manusia perlu sedar kita adalah hamba Allah.

“Jika kita diberikan ujian oleh Allah disebabkan Allah tahu kita mampu menghadapinya.

“Bahagia itu sementara, sakit derita juga sama.

“Setiap kali saya sedang alami kesakitan, saya akan berdoa agar diberikan kekuatan. Berkomunikasi dengan Sang Pencipta. Cara ini mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung,” kongsinya.

Pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali itu juga masih melakukan aktiviti lasak seperti menyelam, menunggang motosikal dan bermain badminton demi menjaga kesihatan.

Engku Aleesya

Selain tugas sebagai selebriti, Erra juga memikul tanggungjawab sebagai ibu buat puteri tunggalnya, Engku Aleesya yang kini berusia 14 tahun.

Bak kata orang, menjaga 10 ekor lembu lebih mudah berbanding menjaga seorang anak perempuan, Erra pula sentiasa memantau pergerakan Aleesya dan akan memastikan anak ditemani walau ke mana sahaja destinasi yang hendak dituju.

Erra menggalas tugas sebagai juri program pertandingan nyanyian Kilauan Emas bermula 14 September ini.

“Mendengar pelbagai berita buruk yang terjadi dalam negara kita kebelakangan ini, semestinya membuatkan saya risau tentang keselamatan anak.

“Saya ibarat terjerat sama ada nak suruh anak berdikari atau perlu pengawasan ketat. Mungkin kelihatan seperti terlalu mengongkong anak, tetapi kita sekadar berhati-hati sebelum ada perkara buruk berlaku.

“Aleesya pula seorang yang introvert. Tak banyak bercakap. Ibarat ada berlian dalam mulut dia. Jadi, saya selalu beri sokongan agar dia lebih terbuka untuk berkongsi apa sahaja dengan saya,” kongsinya.

Pelantun lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu mengakui tidak pernah menghalang minat anaknya sama ada ingin mengikut jejak langkah dalam bidang seni mahupun bidang lain.

“Saya tidak menghalang malah saya galakkan lagi apa yang dia minat. Cuma budak-budak zaman sekarang cepat berubah minat. Mula-mula nak A kemudian nak B pula. Jadi saya layankan sahaja dan tengok perjalanannya bagaimana,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Erra bakal muncul dengan program Kilauan Emas pada 14 September nanti di mana dia diberi tanggungjawab untuk menjadi juri tetap untuk lapan minggu program bersiaran. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok