Aya Amiruddin lali dihina hitam, gemuk

TIDAK cantik, berkulit gelap dan bertubuh gempal. Itu antara kata-kata negatif yang perlu ditelan pendatang baharu, Aya Amiruddin hanya kerana fizikalnya dikatakan kurang menarik dan tidak memenuhi kriteria kecantikan standard anak seni.

Hakikatnya, perkara itu dilalui sejak kecil dan bukan lagi perkara asing buat pemilik nama penuh Fidya Natasha Amiruddin berkenaan.

Sudah lali, dia yang mesra disapa sebagai Aya itu enggan peduli semua penghinaan dilemparkan masyarakat kerana yang penting baginya menjaga emosi.

“Semua kecaman dan penghinaan terhadap fizikal saya bukan perkara baharu kerana sudah dilalui sejak kecil lagi.

“Sewaktu kecil lagi teruk cacian yang saya terima apatah lagi berbadan besar dan berkulit gelap. Lama-kelamaan sudah lali,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Hanya mahu menjadi diri sendiri, Aya berkata dia sama sekali tidak akan membiarkan kecaman itu menjadi kudis yang akan menjejaskan karier seninya.

“Saya ceburi bidang hiburan untuk mencari rezeki dan menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan baik.

“Jadi, kalau ada yang memilih untuk terus mengecam, lantak dan biarkan sahaja. Asalkan saya selesa dengan diri sendiri,” ujarnya.

Ditanya tentang filem Pontianak 200 kilogram (kg) dibintanginya yang mengetengahkan imej hantu berbadan besar, Aya berkata perkara itu tidak perlu diperbesar-besarkan.

“Kalau sudah gemuk, hendak buat macam mana? Terima sahajalah. Ini yang Tuhan beri, selagi bernyawa dan bernafas, syukur sahajalah.

“Lagi satu, filem ini bawa satu perubahan dan menukar pandangan masyarakat bahawa hantu tidak semestinya cantik dan ramping sahaja.

“Bila ambil pelakon kurus, orang bising asyik benda sama tetapi apabila hantu berbadan besar, mereka tetap bercakap juga. Biarkan, malas nak fokus cakap-cakap negatif,” tuturnya.

Dalam pada sama, Aya tetap bersyukur dengan penerimaan khalayak terhadap dirinya ketika ini, bahkan berharap kehadirannya mampu menyemarakkan lagi gelanggang seni tanah air.

Seboleh-bolehnya dia mahu dilihat sebagai pelapis baharu dan bukan sekadar hadir untuk memeriahkan industri.

“Sebenarnya terkejut dan terharu apabila ada yang mula nampak bakat selain meletakkan saya antara pelapis baharu pelakon komedi di negara ini.

Versatil

“Saya bersyukur dengan pujian diberi tetapi diri masih baharu dan ada banyak kelemahan perlu diperbaiki.

“Walaupun begitu, saya akan terus berusaha keras dan asah bakat ini sehingga berjaya,” kata pelakon berusia 27 tahun itu.

Meskipun lebih menjurus karakter komedi, Aya terbuka untuk mencuba watak yang mencabar kemampuan dirinya selain mahu menjadi pelakon versatil.

“Apa sahaja rezeki yang Allah SWT beri ketika ini saya akan buat sehabis baik.

“Saya okey dengan sebarang tawaran lakonan dan tidak pernah meletakkan limitasi atau fokus untuk menjadi pelakon komedi sahaja,” kongsinya.

Jelas Aya, sebagai pelakon yang sedang membina nama, dia mahu meneroka pelbagai watak lain.

“Kalau beri watak posmen atau despatch pun saya akan ambil.

“Saya tak boleh cerewet dan memilih dalam bidang ini sebab ada komitmen yang perlu dibayar. Apa sahaja tawaran, sesuai, Insya-Allah saya akan beri yang terbaik,” ujarnya lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok