Arijit Singh bakal gegar Axiata Arena

SELEPAS komposer, AR Rahman mencipta fenomena di Malaysia, seorang lagi penyanyi hebat dari India iaitu Arijit Singh bakal mencetuskan sejarah tersendiri pada 16 November depan.

Momen tersebut akan dapat disaksikan menerusi konsert solo pertamanya iaitu Arijit Singh Live In Malaysia yang akan diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil.

Nama Arijit dalam persada seni suara di India tidak perlu diperkenalkan lagi. Sekiranya anda peminat filem Bollywood, pastinya Arijit bukan satu nama yang asing.

Menyanyikan lagu-lagu runut bunyi daripada filem popular Bollywood seperti Dilwale dengan lagu Gerua dan Janam Janam, Dunki (Lutt Putt Gaya), Raksha Bandhan (Dhaagon Se Baandhaa) dan Jawan (Chaleya) sekali gus meletakkan Arijit antara penyanyi yang berjaya di India ketika ini.

TERKENAL dengan lagu-lagu popular seperti Gerua, Jannam Jannam dan Chaleya, Arijit sebenarnya mempunyai mempunyai jumlah peminat teramai dalam Spotify.

Bukan sahaja di India, Arijit sudah diiktiraf secara global apabila tersenarai sebagai penyanyi yang mempunyai paling ramai pengikut secara global di Spotify mengalahkan artis antarabangsa seperti Taylor Swift, Ed Sheeran dan Drake.

Konsert

Menurut Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group iaitu Rohit Rampal, pemilihan Arijit untuk sebuah konsert berskala besar di Axiata Arena sangat tepat memandangkan figura terbabit mempunyai kelompok peminat yang sangat ramai di Malaysia.

“Selepas melihat kehebatan dan populariti dalam platform Spotify dengan menjadi antara penyanyi yang mempunyai jumlah penstriman tertinggi di dunia, saya yakin Arijit adalah pilihan tepat.

“Paling terbukti apabila melihat respons pencinta lagu Bollywood yang sangat teruja selepas kami mengumumkan mengenai konsertnya,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ROHIT (kiri) berbesar hati Arijit sudi menerima lamarannya syarikatnya mengadakan konsert di Malaysia.

Bercerita tentang momen ‘melamar’ Arijit untuk konsert tersebut, Rohit memberitahu pelantun lagu Jawan itu sangat teruja mahu bertemu peminatnya di Malaysia.

Sebelum ini saya pernah buat dua kali konsert untuk Arijit tetapi ketika itu dia masih kurang dikenali, lagunya pun belum banyak.

“Kini, peminat-peminat filem hit Bollywood seperti Dilwale, Brashmastra dan Jawan pasti sudah mengenal suara Arijit.

Saya muat naik teaser sedikit sahaja, semua orang bagi respons yang positif. Jadi saya terus pergi jumpa dia dan berbincang mengenai perkara ini.”

“Paling membuatkan saya gembira ialah dia sudi dan mahu bekerjasama dengan Hitman Solutions. Lebih kurang lima hingga enam penganjur yang mengajaknya untuk buat konsert, tetapi dia memilh dan mempercayai kami. Syukur dapat peluang ini.”

Ditanya sama ada konsert tersebut bakal membawa kejutan dengan menjemput penyanyi lain, Rohit berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan.

“Kami masih dalam urusan dengan artis Malaysia untuk kolaborasi ini dan akan membuat kaji selidik dalam kalangan peminat untuk tahu penyanyi yang mereka mahukan.

Kalau dalam pemikiran saya, sudah semestinya ingin Datuk Seri Siti Nurhaliza sebab dia pernah membuat persembahan pada konsert AR Rahman sebelum ini.

“Selain Siti, mungkin juga Aina Abdul jadi pilihan. Kalau boleh nak buat satu persembahan yang sangat istimewa di Malaysia,” ujarnya.

PENYANYI terkenal dari Bollywood, Arijit Singh buat pertama kali akan beraksi di Malaysia pada 16 November depan.

Apabila bercerita tentang persembahan, pastinya akan ada gimik yang mahu dilakukan dan begitu juga untuk konsert Arijit.

“Jika mengikut perancangan, konsert Arijit ini paling mega yang saya akan anjurkan. Dari segi pihak produksi, pentas dan gimik semua itu pasti akan ada.

“Kos konsert ini pun akan menelan dalam jutaan ringgit. Bagi saya memang berbaloi dengan profil artis yang saya bawa kali ini.

“Saya difahamkan, jumlah kru dan orang yang akan datang bersama Arijit pun sangat ramai. Lebih kurang 75 ke 80 orang nanti. Atas pentas sahaja boleh jadi 20 orang,” kongsinya.

Dalam pada itu, jumlah persembahan tidak akan dilanjutkan menjadi dua malam konsert memandangkan jadual kerja Arijit yang sangat padat di India.

“Kami sudah berbincang dan konsert ini akan diadakan satu malam sahaja.

“Kami tak akan tambah hari kedua mahupun ketiga. Ini kerana, Arijit akan ke lokasi lain bagi memenuhi beberapa undangan keesokan harinya,” tuturnya.

Tiket-tiket konsert yang terbahagi kepada kategori Silver (RM298), Gold (RM398), Platinum (RM598), Diamond (RM698), VIP (RM788), VVIP (RM988) dan MIP (RM1,188) kini kini dibuka untuk jualan menerusi www.hitmanlive.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok