[VIDEO] ‘Alhamdulillah, saya tenang’ – Fazura angkut bodyguard ke mahkamah

PELAKON Nur Fazura yang tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada pukul 9.25 pagi bagi sebutan permohonan cerai terhadap suaminya, Fattah Amin mengakui dirinya tenang.

Diiringi lima pengawal peribadi, usahawan yang manis mengenakan persalinan serba putih itu meminta diri untuk masuk ke kamar mahkamah sebelum membuat sebarang ulasan lanjut.

“Selamat pagi semua. Kita masuk dalam dulu.

Alhamdulillah, hari ini saya tenang,” katanya yang turut ditemani pengurus, Iman Tang serta peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Nur Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, juga tidak ketinggalan melemparkan senyuman kepada kira-kira 50 pengamal media yang menunggu di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi tadi.

FAZURA tersenyum manis kepada pihak media sambil meminta diri masuk ke kamar mahkamah.

Ditanya mengenai keadaan anaknya, pelakon filem Gol & Gincu itu memaklumkan Nur Fatima Aisya baik-baik sahaja.

Sementara itu, Fattah Amin difahamkan sudah tiba lebih awal setengah jam sebelum kedatangan
isterinya tetapi terus ke ruang sulh tanpa melalui pintu hadapan mahkamah.

Pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu diwakili peguamnya, Zulkifli Che Yong.

Terdahulu, pada 13 September lalu iaitu sehari sebelum sambutan ulang tahun Fattah, Fazura memfailkan cerai terhadap pelakon itu di mahkamah sama.

Fattah memaklumkan terkejut menerima berita isterinya memfailkan perceraian selain hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

Akui Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 30, dia mencintai isterinya dan menegaskan tiada wanita lain di hatinya seperti dihebohkan dalam media sosial.

Dia turut berharap tiada campur tangan pihak ketiga yang boleh mengeruhkan lagi situasi rumah tangga mereka.

Pada masa sama pihak pengurusan Fazura menerusi pengurusnya Iman Tang menafikan dakwaan pelakon terbabit pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang tindakannya membuat permohonan cerai.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 manakala hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 3. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok