Aina Abdul nafi bercinta dengan juruvideo

 

DIDAKWA hangat bercinta dengan juruvideo peribadi, penyanyi Aina Abdul menafikan tuduhan tersebut bahkan menegaskan tiada sesiapa yang bertakhta dalam hatinya buat masa ini.

Tiada masa, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata jejaka yang cuba mendekati dirinya hanya akan menanggung rugi memandangkan dia terlampau sibuk dengan kerja.

“Saya perlu berhati-hati untuk jawab soalan ini, banyak hati yang perlu dijaga terutama ibu saya. Ini kerana keluarga saya lebih mengutamakan kerjaya.

Tapi apa yang boleh saya katakan setakat ini belum ada seseorang yang istimewa dalam hati kerana saya hanya fokus kerja.

“Siapapun lelaki yang datang dalam hidup saya, mereka akan rugi dan tidak beruntung kerana saya sangat sibuk,” katanya kepada HibGlam.

Menyimpan rapat cerita peribadi, pelantun lagu Puas Sudah itu memilih untuk tidak terbuka berkongsi perihal cinta.

Katanya, biarlah peminat dan orang luar mengenali dirinya secara mendalam menerusi tulisan dan komposisi muzik ciptaannya.

“Saya tak pernah dan tidak akan kongsi berkenaan perkara itu (cinta) kerana terlalu peribadi.

Cukuplah kenali saya melalui lagu-lagu saya. Tidak ada apa yang akan keluar dari mulut saya soal hati.

“Apa sahaja spekulasi, itu semua sebab saya hanya bekerja dan berjumpa dengan orang yang sama,” ujarnya pada majlis pengumuman Konsert Aina Abdul Imaji Tour, di sini, semalam.

Paling penting kata pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu, dia menyerahkan perihal jodoh kepada Tuhan selain mengakui pintu hatinya masih belum terbuka.

Saya boleh katakan, hati ini masih belum bersedia. Banyak perkara yang perlu saya uruskan termasuk perihal konsert.

“Bila masanya pintu hati akan terbuka, Allah sahaja yang mampu menjawab soalan itu. Tidak berani nak kata tidak pada cinta, kerana itu semua perancangan Allah,” tuturnya.

Terdahulu, terdapat beberapa individu meninggalkan komen pada sebuah video memaparkan Aina berkongsi mengenai ciri-ciri lelaki idamannya.

Rata-rata mereka mendakwa Penyanyi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu menjalin cinta dengan juruvideo sendiri selepas dilihat kerap meluangkan masa bersama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok