4 bintang kimchi ada sijil unik

SUDAH namanya selebriti ternama, kebanyakan daripada mereka pasti memiliki pakej lengkap dengan segudang bakat termasuk pendidikan yang tinggi.

‘Beauty with brain’ barangkali itu pegangan segelintir artis demi menunjang karier mereka untuk terus menjadi selebriti bukan sahaja berkualiti, namun dalam masa sama berilmu dalam dunia seni.

Kebiasaannya, mereka akan mendalami ilmu dan mengambil sijil yang mempunyai hubung kait dengan bidang masing-masing seperti nyanyian, lakonan dan pengacaraan.

Pun begitu, terdapat beberapa artis Korea Selatan yang mempunyai sijil yang cukup unik dan jauh berbeza daripada karier hakiki mereka sebagai seorang figura terkenal. Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti K-pop yang mempunyai sijil unik yang menyimpang jauh daripada karier sebagai anak seni.

Lee Byung-hun

Bagi peminat aktor Lee Byung-hun, mereka pasti sudah maklum bahawa idola kesayangan mereka itu adalah seorang pencinta kopi.

Bahkan dek terlalu obses dengan aroma kopi, pelakon berusia 54 tahun itu pernah mengambil keputusan untuk berhenti berlakon buat sementara waktu demi mengikuti pengajian berkaitan kopi.

Kesungguhan lelaki tampan itu terhadap kopi yang membuak-buak berjaya menjadikannya sebagai pelajar cemerlang dan layak bergelar barista profesional. 

Berbekalkan ilmu yang dipelajari, Byung-hun tidak lagi mengunjung ke kafe untuk menghirup secawan kopi sebaliknya memilih untuk membuat minuman itu sendiri setiap pagi.

Seo Ye-ji

Siapa sahaja tidak mengenali aktres jelita bernama Seo Ye-ji yang handal menggalas pelbagai watak.

Siapa sangka pelakon berusia 34 tahun itu mempunyai lapan sijil unik yang langsung tidak berkait dengan dunia seni.

Dek mahu mendalami dan memperolehi banyak ilmu, wanita jelita itu mempunyai banyak sijil daripada pelbagai bidang seperti pendidikan seks sehingga ke seni membuat origami. 

Sikap ingin tahu membuak-buak, alasan Ye-ji mempelajari pendidikan seks kerana ingin mendidik dirinya sendiri termasuk anaknya suatu hari nanti tentang topik sensitif dengan cara yang betul.

Bagi sijil membuat origami pula, dia mempelajari ilmu itu bertujuan untuk menghilangkan stres dan mengisi masa lapang.

Ye-ji mengibaratkan melipat origami bersama masalahnya dan berharap aktiviti tersebut mampu menghilangkan rasa cemas dan tekanan yang dihadapi.

Minah

Meskipun ramai menyangka golongan perempuan tidak sekuat kudrat kaum lelaki, namun anggota kumpulan Girls Day, Minah menyangkal semua itu selepas membuktikan dirinya juga mampu mempunyai sijil dan lesen membawa jentera berat.

Idola berusia 31 tahun mendapat kelayakan dan sijil mengendalikan jentera tersebut selepas mendapat tawaran dalam sebuah variety show, Eco Village pada 2014 yang menuntutnya untuk berbuat demikian.

Dalam program tersebut, si cantik itu ditugaskan untuk membantu orang lain dengan membangun rumah secara kreatif dan berteknologi.

Selepas lulus cemerlang segala ujian dan layak mendapat sijil, wanita putih gebu itu dengan bangga menayangkan kelayakannya dalam media sosial sekali gus meraih pujian orang ramai.

Solar 

Bukan sahaja handal menyanyi dan menari, ketua kumpulan Mamamoo, Solar juga mempunyai tiga sijil yang unik. Semuanya berkaitan dengan membawa kebahagiaan serta membantu orang lain. 

Idola berusia 33 tahun itu mempunyai sijil dalam kepimpinan dan rekreasi, terapi melepaskan tekanan dan kaunseling.

Kena dengan jiwa, wanita jelita itu mengakui mengikuti pengajian dalam tiga bidang berkenaan merupakan keputusan tepat yang dibuat malah dalam perancangan untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi.

Menurut sebuah laporan, Solar berjaya memperoleh skor sempurna dalam semua ujian dan peperiksaan yang diambil menjadikan dirinya pelajar cemerlang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok