‘Cuba berlakon, tapi saya malu dengan kamera’

SETIAP individu yang bergelar anak seni, pasti punya laluan tersendiri bagaimana mereka mula terjebak dalam industri hiburan, baik lakonan mahupun nyanyian. 

Lazimnya bakat-bakat baharu ditawarkan peranan dalam sesebuah naskhah melalui sesi uji bakat mahupun kenalan terdekat dalam industri. 

Situasi berlainan pula dilalui pelakon baharu, Ezaidi Aziz apabila dia sebenarnya ‘ditipu’ teman baiknya iaitu pelakon popular, Aedy Ashraf. 

Berkongsi pengalamannya bersama HibGlam, Ezaidi atau nama lengkapnya Mohamed Ezaidi Abdul Aziz, 29, berkata, dia diminta oleh Aedy datang ke set penggambaran kononnya untuk sesi fotografi.

“Sebelum bergelar pelakon, saya seorang model sepenuh masa. Sudah 14 tahun saya bergelar model.

“Jadi pada satu hari, Aedy minta saya untuk datang ke set penggambaran. Katanya ada sesi fotografi. 

“Tiba-tiba pengarah, Bahri Uma beritahu saya, saya akan memegang watak sebagai sepupu kepada Aedy dalam drama berkenaan.

“Semestinya saya terkejut dan bertanya kepada Aedy apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi dia cuba yakinkan saya bahawa saya boleh berlakon,” ceritanya tentang langkah pertama terjun ke bidang lakonan. 

Sebagai seorang yang pemalu, awalnya anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan dunia lakonan.

Ezaidi  enggan terbabit dengan sebarang kontroversi cinta lokasi bersama pasangan lakonnya, selain enggan melakonkan babak keterlaluan demi tuntutan agama.

“Biarpun saya model tetapi situasi di atas pentas peragaan dengan berlakon di hadapan kamera sangat berbeza. 

“Saya malu dengan kamera. Tetapi lama-kelamaan saya dapat sesuaikan diri dengan bantuan pengarah dan kru produksi. 

“Untuk pastikan saya lebih yakin dan selesa di set penggambaran, saya masuk kelas lakonan. 

“Saya anggap kerja dalam bidang lakonan sebagai kerja serius. Ini adalah punca rezeki saya. Orang dah bayar, jadi kita kena berikan hasil yang terbaik,” ujarnya. 

Hadir dengan pakej tampan dan menawan, pasti akan ada yang beranggapan laluannya dalam bidang glamor ini semudah menjual wajah. 

Namun kata Ezaidi, dia tidak pernah menganggap wajahnya sebagai tiket mendapat laluan mudah dalam apa jua pekerjaan sekali pun. 

“Dalam industri lakonan, rupa bukanlah semata-mata. Bakat paling utama. Saya pun tak rasa wajah saya terlalu tampan. Rupa saya biasa-biasa sahaja. 

“Tetapi saya akan cuba sedaya upaya untuk memperbaiki kelemahan diri agar tidak dianggap sebagai pelakon bersandarkan fizikal semata-mata. 

EZAIDI kini muncul memegang watak hero bergandingan dengan Bella Astillah (tengah) dalam drama Satu Hari Lagi.

“Doakan saya menjadi pelakon yang memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya. 

Jadi hero

Selepas menjayakan watak-watak pembantu dalam lebih 10 buah naskhah termasuk Hijrah Jannah, Jesnita, Rampas Cintaku 2 dan Keria Women, akhirnya tahun ini Ezaidi diberi peluang untuk membawa watak  utama sebagai hero dalam sebuah naskhah berjudul Satu Hari Nanti yang sedang ditayangkan menerusi platform penstriman iQiyi. 

Bergandingan dengan Bella Astillah dan Eyka Farhana, tawaran terlibat dalam drama arahan Pali Yahya tersebut diibarat bulan jatuh ke riba. 

“Sebelum ditawar berlakon drama ini, saya teringin untuk ke Tanah Suci menunaikan umrah sebab ketika itu saya tengok rakan-rakan saya sudah ke sana. Jadi, hati saya membuak-buak untuk ke Tanah Suci.

“Siapa sangka selepas tiga hari, tiba-tiba saya ditawarkan untuk berlakon dalam drama Satu Hari Lagi yang akan menjalani penggambaran di Mekah. 

“Saya terus menangis bila mendapat tawaran ini. Saya rasa Allah telah mendengar doa saya. Ini adalah rezeki yang sangat indah buat saya,” kongsinya. 

Membawakan watak mualaf berbangsa Cina,  Ezaidi juga perlu mempelajari bahasa Hokkien untuk peranan tersebut. 

BERMULA sebagai model peragaan, Ezaidi kini sudah berlakon dalam lebih 10 buah naskhah.

“Nasib baik watak saya berketurunan Baba Nyonya. Jadi, saya banyak bercakap bahasa baku. 

“Tetapi saya perlu berdialog dalam bahasa Hokkien. Justeru saya banyak belajar dengan pelakon berbangsa Cina yang lain dalam drama ini. 

“Mujur saya tak perlu berdialog dalam bahasa Mandarin. Kalau tidak tak tahulah apa yang jadi,” jelasnya. 

Tiga kali bergandingan dengan Bella Astillah, Ezaidi tiada masalah bergandingan dengan ibu tunggal anak dua itu kerana sudah saling mengenali antara satu sama lain.

“Kami sudah lama kenal, sudah macam keluarga. Tiada masalah untuk serasi. Begitu juga dengan Eyka. Kami sudah lama berkawan. Dialah orang pertama yang suruh saya mencuba nasib sebagai pelakon,” katanya yang menyimpan hasrat untuk bergandingan bersama Erra Fazira satu hari nanti. 

 

 

 

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok