ANAK mana yang tidak rindu dengan masakan air tangan ibu, begitu juga dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof.
Menurut bapa kepada Syamsul iaitu Datuk Yusof Haslam, anaknya itu telah pulang ke rumah dua hari berturut-turut untuk menjamah masakan ibunya.
“Alhamdulillah dua hari berturut-turut Syamsul datang rumah. Dia nak rasa masakan mak dia. Jadi mak dia pun masak untuk dia.
“Bila kali pertama dia pulang, kami saling berpelukan dan menitiskan air mata.
“Bagi saya ini adalah satu perkembangan yang baik. Kami hanya mahukan kedamaian dalam kehidupan. Saya dan isteri pun sudah berada di penghujung usia,” katanya dalam satu wawancara bersama program hiburan.
Melihatkan bekas isteri Syamsul iaitu Puteri Sarah turut berada sewaktu pertemuan semula mereka baru-baru ini, ramai netizen yang mendoakan agar mereka disatukan semula.
Namun kata Yusof, walau apa pun takdir yang sudah tertulis buat Syamsul dan Puteri Sarah di masa hadapan, dia akan tetap menyayangi mereka berdua.
“Walaupun seandainya Sarah tidak kembali berjodohan dengan Syamsul, saya tetap menganggap dia sebagai menantu kerana dia adalah ibu kepada anak-anak Syamsul.
“Bagi yang mendoakan mereka kembali bersatu, saya tak boleh ramalkan apa yang berlaku. Terserah kepada Allah swt untuk tentukan,” jelasnya.
Tambah Yusuf lagi, apa yang penting sekarang keluarga mereka telah berdamai dan dia gembira melihat wajah Syamsul semakin ceria.
“Saya lihat muka Syamsul semakin ceria sekarang. Tidak serabut seperti dulu.
“Dia pun sekarang tengah gigih menyiapkan filem Khawarij bersama Astro Shaw,” kongsinya.
Terdahulu pada Rabu lalu, ibu kepada Syamsul iaitu Datin Patimah telah berkongsi foto kepulangan anaknya menerusi hantaran dalam Instagram.
Turut kelihatan dalam foto tersebut ialah Puteri Sarah dan anak perempuan mereka, Sumayyah. – HIBGLAM