SUDAH sedia berumah tangga, pelakon Riena Diana bagaimanapun menolak untuk tinggal di kediaman milik aktor, Keith Foo yang dipercayai terletak berhampiran kawasan hutan.
Kata Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, masih ada beberapa perkara yang ingin mereka pertimbangkan sebelum sah bergelar suami isteri nanti.
“Dia (Keith) kata kalau kahwin dengan dia kena tinggal dalam hutan, sebab dia ada memiliki rumah di kawasan sebegitu.
“Kalau begitu saya tidak mahu. Saya enggan tinggal di hutan. Disebabkan itu saya kata ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan dan dibincangkan.
“Ada hal-hal yang tidak berkenan dan kami sedang dalam perbincangan lagi,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Riena, dia dan Keith atau nama lengkapnya Keith Foo Chuan Chin, 41, tidak tergesa-gesa untuk berkahwin dalam tempoh masa terdekat.
“Kami memang sudah rancang bila hendak kahwin. Tetapi kami ambil langkah perlahan-lahan dan tidak terburu-buru.
“Kami percaya dengan proses, tambahan kami juga masing-masing akan sibuk menjalani penggambaran.
“Saya juga mempunyai perkara yang ingin dibuat dan diterokai lagi,” katanya.
Jun lalu Riena mendedahkan hubungan cinta mereka terjalin sejak sama-sama menjayakan penggambaran drama bersiri Salju Rindu yang disiarkan TV3.
Keith sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Kim Raymond pada November 2015 namun bercerai empat tahun kemudian.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Skylar yang kini berusia tujuh tahun. – HIBGLAM