Zul Ariffin nafi berstatus ‘paling mahal’ Malaysia

Sekitar 16 tahun lalu, Zul Ariffin terjun ke dunia seni dengan ‘menjual’ wajah tampan, tubuh kekar dan kontroversi panas yang pantas melonjakkan namanya.

Selepas tempoh ‘introduksi’ berlalu, Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 38, membuktikan dia tidak sekadar menjual ‘visual’.

Seiring kepanasan dan populariti, bakat lakonannya juga mendapat pengiktirafan, antaranya Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Sangkar.

Kejayaan yang diraih meletakkan Zul sebagai pelakon gred A dalam pasaran filem komersial sehingga ada yang beranggapan bintang filem Sheriff: Narko Integriti itu antara pelakon tanah air termahal ketika ini.

“Saya bukanlah pelakon paling mahal. Jujur saya katakan ada lagi pelakon lebih mahal daripada saya.

“Mungkin persepsi orang ramai bahawa saya pelakon berwajah komersial jadi harganya juga mahal. Tidak, saya biasa-biasa sahaja masih menerima projek yang bagus bukan kerana wang semata-mata.

“Tetapi lakonan adalah pekerjaan saya, jadi harus ada bayaran cuma jika ada karya yang sangat menarik tetapi ketiadaan bajet saya boleh bertolak-ansur soal harga,” kata Zul penuh serius.

Bukan tidak lagi mahu berlakon drama, tetapi kekangan masa menyebabkan Zul terpaksa menolak banyak tawaran drama berepisod.

Jelas Zul, meski kerap membintangi filem komersial tetapi sebagai pelakon, dia juga ingin terlibat dalam karya ‘indie’ yang disifatkan lebih tinggi seninya.

Baginya filem ‘indie’ lebih memberi kepuasan kepada pelakon dan karyawan seni kerana mereka lebih bebas berkarya.

“Saya minat sangat hendak berlakon dalam filem ‘indie’, tetapi sampai sekarang belum ada tawaran (ketawa).

“Sekali-sekala, kita bukan bekerja untuk duit, tetapi kepuasan. Jika karya yang bagus sudah tentu saya ingin turut serta, tambahan penggambaran filem ‘indie’ tidaklah makan masa terlalu lama.

“Saya bersedia dan buat pengkarya ‘indie’ di luar sana jangan takut untuk memberi tawaran kerana saya tidaklah mahal, boleh beri potongan harga,” ujar Zul.

Luar negara

Kongsi Zul, sejak dahulu lagi dia sudah berminat untuk terlibat dalam karya ‘indie’, tetapi keinginannya membuak-buak timbul selepas bertindak sebagai juri Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest 2024) yang baru melabuhkan tirai.

“Saya lihat filem ‘indie’ yang bertanding semuanya hebat dan topik yang dibangkitkan adakalanya di luar kotak pemikiran.

“Kadang-kadang rasa cemburu juga melihat rakan lain boleh terjun ke dalam dua jenis filem, komersial dan ‘indie’.

“Mungkin persepsi orang saya berwajah komersial dan dianggap mahal menyebabkan peluang itu tiada,” tutur Zul.

Biarpun namanya cukup besar di Malaysia, Zul mengakui masih belum berpeluang untuk mengembangkan bakat seni ke luar negara, termasuk Indonesia.

Dia berasa ketinggalan berbanding ramai pelakon muda hari ini yang dilihat lebih mudah mendapat peluang untuk terlibat dalam karya-karya seberang.

“Belum ada tawaran, tetapi kolaborasi dalam naskhah itu ada. Jika mahu saya terbang ke Indonesia misalnya dan bertapak di sana, rasa tidaklah sebab saya bersyukur dengan rezeki yang saya ada di Malaysia.

“Mungkin saya tidak mendapat tawaran untuk berlakon di Indonesia kerana faktor usia.

“Kebanyakan tema karya adalah romantik, percintaan jadi faktor usia bawah 35 tahun itu memainkan peranan,” ungkapnya.

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok