‘Watak jahat senang buat duit, tunjuk muka lelaki tak guna’

SELESA dan mudah.”

Itu reaksi pelakon Fadlan Hazim yang mengakui lebih gemar membawakan watak antagonis berbanding tampil sebagai hero.

Kata Fadlan atau nama lengkapnya Fadlan Hazim Anuwar, 32, selain kerap ditawarkan pihak produksi, dia secara peribadi memang cenderung menghidupkan karakter gelap.

“Saya selalu ditawarkan watak jahat. Memang produksi suka lihat saya dalam watak gelap dan ini boleh dikatakan kelebihan saya juga.

Bukan tidak mahu atau tidak boleh buat watak hero, saya boleh buat cuma bukan minat kerana nanti jadi macam mengantuk sikit,” katanya menerusi siaran langsung Tik Tok hari ini.

Dalam pada itu, pelakon filem Sangkar itu turut mengakui perasaan yang terpendam dapat membantu dirinya menjiwai watak gelap dengan mudah.

Dalam diri kita ada sifat jahat, marah, benci dan toksik. Jadi apabila saya dibayar untuk mengeluarkan segala kejahatan dan kemarahan yang ada dalam diri, pada saya ia mudah kerana semuanya sudah ada.

“Secara realiti saya memang nampak tenang dan gembira bersama keluarga dan kawan-kawan, kerana semua itu (perasaan) saya simpan.

Jadi, ia seperti senang buat duit sebab saya hanya perlu pergi ke set untuk tunjuk muka lelaki tak guna, kemudian marah-marah dan jadilah watak jahat,” katanya.

Sebelum ini Fadlan pernah teruk dikecam netizen yang membenci wataknya sebagai Iqbal dalam drama Semua Salahku yang bersiaran di TV3 pada Ogos 2019. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok