ANDAI kalian memerlukan motivasi atau inspirasi dalam hidup, ada sebuah filem dalam laman penstriman, Netflix yang mampu memberikan energi tersebut.
Filem dimaksudkan bertajuk YOLO lakonan mantap nadi utamanya yang berketurunan Cina, Jia Ling.
Apa yang dinukilkan pada perenggan kedua adalah disebabkan kesungguhan pelakon tersebut menaikkan dan menurunkan berat badan secara mendadak asbab tuntutan atau komitmen karakter bernama Du Leying.
Pertama sekali, bayangkan anda seorang manusia berjantina wanita dan atas rasa kebertanggungjawaban menghidupkan peranan dalam filem, sanggup menggemukkan dan menguruskan badan hanya dalam tempoh setahun.
Penulis sudah menyaksikan kesungguhan tersebut yang dicetuskan Aamir Khan dalam filem Dangal, namun Jia Ling sebagai Du Leying dalam YOLO sangat ‘next level’ (luar biasa).
Ada ketikanya, rasa seperti ‘adakah memang dia betul-betul gemuk’ atau sekadar bantuan teknik janaan komputer (CGI) dan kesan khas (VFX).
Usai menghabiskan tontonan, baru terdetik untuk melakukan sedikit pencarian di internet dan ternyata, segala apa yang dipamerkan dalam filem memang datang daripada kudrat seorang pelakon hebat bernama Jia Ling. Mad respect (rasa hormat) untuk aktres berkenaan.
Keduanya, dari segi plot atau alur cerita, YOLO adalah adaptasi daripada filem asal Jepun berjudul 100 Yen Love oleh Masaharu Take.
Jujurnya, penulis tidak pernah langsung menonton filem asal dan ‘verdict’ ini adalah 100 peratus daripada filem adaptasi yang merupakan produksi China.
Dari segi plot, apa yang dibentangkan sangat berbekas dan mempunyai identiti tersendiri.
Identiti tersendiri bermaksud, apabila melunaskan tontonan memang sudah dapat rasakan ‘vibe’ bahawa, filem ini sememangnya dibikin oleh para pemain asal Negara Tembok Besar tersebut.
Misalnya, babak orang di sana tidak berkomunikasi menggunakan WhatsApp sebaliknya aplikasi WeChat yang sememangnya buatan China.
Dalam pada itu, dari aspek teknikal seperti colour grading, YOLO mempunyai DNA filem Cina yang sangat kuat.
Umpamanya, meski hanya menonton 30 saat awal (tanpa memberi fokus kepada wajah pelakon), memang sudah terang lagi bersuluh filem itu datang daripada negara ‘besar’ terbabit.
Dari segi permainan karakter, jujurnya, apa yang membuatkan filem ini hebat adalah kekuatan pemain utamanya iaitu Jia Ling. Lagi membuatkan otak tidak tercapai akal adalah Jia Ling juga bertindak selaku pengarah filem.
Segala fokal tumpuan diberikan kepada watak dimainkan aktres itu iaitu Du Leying. Daripada seorang zero to hero.
Daripada seorang loser kepada seorang winner. Daripada seorang yang tiada matlamat hidup, berganjak jauh melepasi kudrat manusia.
Buat penulis sebagai pencinta dunia sinematik, apa yang berbekas dalam hati adalah realiti naskhah bahawa bukan sukan tinju itu yang dicintai oleh Leying, tetapi dia memilih untuk berlawan dengan takdir dan mencintai dirinya lebih daripada segala-galanya.
YOLO adalah sebuah karya yang meletakkan penjajaran dalam kehidupan. Kalau bukan kita mengubah nasib hidup sendiri, tiada siapa akan melakukan perkara demikian.
Maka, peluklah tubuh sendiri dan bermulalah dari sekarang melakukan anjakan. – HIBGLAM