PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza teruja apabila anak sulungnya, Siti Aafiyah akhirnya bersetuju menemaninya di atas pentas menerusi konsert Siti Nurhaliza: Love Is In The Sky di Arena Of Stars Genting Highlands, sebentar tadi.
Kemunculan Aafiyah atau nama lengkapnya Siti Aafiyah Mohd. Khalid, 7, tampil ke pentas bersama adiknya, Muhammad Afwa mendapat sorakan serta tepukan gemuruh daripada audiens.
Lebih istimewa, Aafiyah berjaya bermain keyboard menerusi lagu Nadi dan Cinta Tak Mungkin.
“Sudah puas saya pujuk dia (Aafiyah) tetapi dia malu seperti ibunya.
“Sebenarnya susah saya nak mengawal perasaan bila sepentas dengan Aafiyah. Puas nak pujuk dia.
“Semalam, masa raptai dia menangis selama setengah jam tetapi alhamdulillah, terima kasih Aafiyah. Terima kasih Afwa,” ujarnya sebelum memulakan persembahan.
Sebelum ini, Siti Nurhaliza sering berkongsi video Aafiyah bermain piano dan keyboard dalam media sosial sehingga ramai peminat yang menantikan persembahan mereka bersama. – HIBGLAM.