[VIDEO] Saya tak kisah orang ‘menganjing’ ke Olimpik LA – Dafi

NAMA dipetik layak mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bagi kategori Breakdance, penyanyi Dafi Ismail Sabri tidak berkecil hati sebaliknya menganggap itu usikan nakal netizen.

Dafi atau nama lengkapnya Gadaffi Ismail, 36, berkata, gurauan yang tular dalam media sosial itu secara tidak langsung menunjukkan masih ramai mengingati dirinya sebagai penggiat seni.

“Saya tahu video menari yang saya kongsikan ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘dibahan’ apabila tiba-tiba ramai individu mencadangkan saya dihantar ke Sukan Olimpik LA musim depan.

“Itu pun kawan yang beritahu nama saya disebut-sebut gara-gara persembahan unik wakil Australia dalam kategori Breakdance, baru-baru ini.

Saya tak sentap pun. Itu cuma gurauan. Saya tak kisah orang ‘menganjing’. Bagi saya publisiti buruk juga adalah publisiti. Selagi mereka masih ingat dan sebut nama saya, saya okey sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Dafi berkata demikian ketika diminta mengulas komen netizen yang memintanya mewakili Malaysia untuk Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelima itu memahami sebagai anak seni dia tidak boleh cepat terasa hati apatah lagi sebelum ini sudah berdepan banyak kecaman lebih teruk.

“Bagi saya apabila masuk industri hiburan, kita tidak boleh terlalu sensitif dengan menganggap sesuatu perkara sebagai hal negatif.

Saya sendiri pun kongsikan komen lucu netizen dengan keluarga. Mereka sama-sama tergelak besar.

“Mana tahu hasrat netizen termakbul. Lagi dua tahun saya baru cecah 38, sempat lagi wakili negara dalam tarian Breakdance,” ujarnya.

Menurut Dafi, gurauan tersebut juga memberi idea kepadanya untuk membuat kejutan bersempena, pelancaran single tebaharu berjudul Hellooo! ciptaan Altimet dan lirik oleh Shazee Ishak.

“Saya memang minat menari. Sekarang saya tengah fikir sesuatu untuk persembahan saya nanti lebih menarik, lebih-lebih lagi dengan kemunculan Hellooo!,” jelasnya.

Terdahulu, Dafi menerbitkan single terbaharu bertajuk Hellooo! minggu lalu selepas lapan tahun tidak tampil dengan sebarang produk.

Kali terakhir, penyanyi yang aktif berlakon itu menghasilkan single adalah pada 2016 iaitu Girl serta Sempurna. – HIBGLAM

@dafiismailsabri Another dance cover, ye tau lidah dengan muka kemut tu… terima seadanya dulu k…next video kita kawal peng-ULAR- an itu. ✌️😝✌️ #SebelumKenaCarutBetterCarutDiriSendiriDulu #giveittomexsayitright #giveittome #sayitright #dance #BroCuba ♬ Give it to me x Say It Right – Kuya Magik 🪄

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok