Utamakan wajah ‘mat salih’, Neera Azizi bidas stesen televisyen

KECEWA melihat stesen televisyen lebih cenderung memberikan laluan kepada pelakon yang ada rupa dan popular, Neera Azizi tampil menyuarakan rasa tidak puas hati.

Neera atau nama sebenarnya, Nurazneera Azizi, 26, berkata, sewajarnya bakat diberi keutamaan, bukan rupa atau elemen tambahan lain sehingga menyekat rezeki anak seni lain.

Tak fahamlah dengan industri seni, orang yang berbakat boleh berlakon selalu kena tolak dengan stesen televisyen sebab tidak terkenal atau tidak cantik dan tampan.

“Kita orang Malaysia, jadi normal kalau tiada ‘look’ mat salih, tidak putih melepak.

Ini kalau nak jadi pelakon mesti nak muka kacuk, lakonan hauk pun tidak mengapa.

“Cuba tengok industri luar, Indonesia misalnya. Filem mereka dibarisi pelakon yang wajahnya asli kampung. Begitulah wajah orang Asia,” katanya menerusi Threads.

Menurut bekas peserta Dewi Remaja itu lagi, perkara itu dibangkitkan bukan kerana dia iri hati sebaliknya mahu menegakkan hak barisan pelakon berbakat.

“Bukan nak angkat negara lain tetapi sampai bila nak teruskan dengan pemikiran sebegini. Banyak pelakon yang bagus tidak dipedulikan.

Pempengaruh yang baru popular sikit terus jadi heroin drama. Bukan cemburu cuma tak adil untuk mereka yang benar-benar berbakat. Mereka diabaikan semata-mata nak kejar ‘rating’.

“Cuba bagi peluang kepada mereka yang ada bakat, mesti drama Malaysia lebih maju. Ini pendapat saya,” ujarnya.

Sebagai rekod, Neera memulakan karier lakonan apabila dilamat menjadi heroin drama Sayangku Kapten Mukhriz dan Miss Kapten Miss Kapten Cikgu Waiz sebelum menyertai pertandingan Dewi Remaja 2018/2019.

Dia juga pernah melancarkan single pertama berjudul Rasa Hati pada 2018 hasil ciptaan B-Heart. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok