JANGAN sekali-kali bercinta atau berkahwin dengan seseorang yang pernah membuli.
Demikian nasihat Shila Amzah buat orang ramai agar tidak memilih mereka yang ada sejarah menjadi pembuli.
Shila atau nama penuhnya Nushahila Amir Amzah, 34, menegaskan, sikap kurang belas kasihan yang ada pada pembuli dikhuatiri akan memberi impak terhadap pasangan pada masa akan datang.
Kekurangan empati dan kekejaman mereka akhirnya akan ‘menggigit’ anda pada masa hadapan,” katanya dalam aplikasi X baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelantun lagu Memori Tercipta itu menyeru agar gejala buli dihentikan kerana memberi impak trauma terhadap mangsa.
Hentikan budaya buli. Pembuli selalunya akan sentiasa mengalami kesukaran untuk mengingati peristiwa khusus tingkah laku buli mereka terhadap mangsa.
“Sementara, mangsa yang dibuli pula sering mempunyai ingatan yang jelas dan berkekalan tentang kejadian tersebut,” ujarnya.
Shila bagaimanapun tidak menyatakan perkongsiannya itu merujuk kepada kes buli siber atau secara fizikal.
Mengimbau semula, sekitar 2022 Shila pernah mengalami masalah kebimbangan yang melampau atau ‘anxiety disorder’ yang berpunca daripada komen negatif netizen terhadapnya.
Pada 2017, Shila bertindak menutup akaun Twitternya kerana tidak tahan menjadi mangsa buli siber. – HIBGLAM