Ujian ini nikmat buat keluarga – Hana Ismail

Reda. Itu perkataan sesuai menggambarkan situasi isteri kepada pendakwah selebriti sensasi iaitu Da’i Syed, Hana Ismail yang menerima keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan terhadap suaminya atas kesalahan merogol.

Hana atau nama lengkapnya Nurulhana Ismail, 38, menganggap ujian tersebut sebagai nikmat dalam kehidupan selain mampu memohon doa ramai untuk terus kuat menjalani takdir.

“Alhamdulillah untuk segala nikmat yang sudah diberikan buat keluarga kecil kami.

“Di hari Jumaat penuh barakah ini, saya dengan rendah diri ingin memohon doa dan kebaikan daripada kalian.

“Salam sayang daripada Baba Nour (Syed), Ummi (Hana) dan Nour (anak),” katanya menerusi Instagram hari ini.

Dalam hantaran tersebut, bekas pengacara OM Live! itu turut berkongsi sebuah hadis Nabi Muhammad SAW tentang keredaan dengan ketentuan Illahi.

Mata ini menangis dan hati ini bersedih tetapi kami hanya akan menuturkan apa yang diredai Tuhan kami,” dipetik daripada Hadis Riwayat al-Bukhari.

Hari ini, Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Difahamkan, sebaik mendengar keputusan itu, Syed dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh sambil memeluk Hana yang baru sahaja melahirkan anak 16 hari lalu.

Pemilik nama lengkap Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, di sini kira-kira pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok